Category: Malaysia

  • Penunggang motosikal maut dilanggar kereta ketika beri laluan kepada ambulans

    MELAKA — Tindakan murni seorang penunggang Grabfood memberi laluan kepada ambulans dalam kecemasan bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, di sini, pagi tadi.

    Mangsa dikenali sebagai Hilmi Saleh, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata nahas kira-kira jam 9.50 pagi itu membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 50 tahun sedang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke bandaraya Melaka.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, datang sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 65 tahun dan mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dari sebelah kanan jalan melintas jalan untuk memberi laluan kepada ambulans dari arah sama.

    “Akibatnya pemandu Honda Civic yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan motosikal mangsa dan Proton Wira.

    “Pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Christopher berkata, pemandu Honda Civic yang juga jurujual insurans mengalami sakit pada leher dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka manakala pemandu Proton Wira pula hanya cedera ringan.

    Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Selepas 10 tahun MH370 hilang, isyarat baharu dikesan di Australia Barat

    LONDON — Penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang di Lautan Hindi sedekad lalu, menurut akhbar harian The Telegraph.

    Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.

    Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai kehabisan minyak dan terhempas ke dalam lautan selepas melencong daripada perjalanan Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

    Walaupun pencarian meluas meliputi lebih 119,140 kilometer persegi, hanya 18 serpihan pesawat ditemui terdampar.

    Penyelidik dari Wales dilaporkan mengambil isyarat enam saat menggunakan mikrofon bawah air, atau hidrofon, yang berpotensi membawa ke lokasi terakhir pesawat.

    Hidrofon ini, pada asalnya direka untuk mengesan ujian nuklear yang dilarang, mengambil isyarat sekitar masa pesawat itu dipercayai terhempas.

    Berdasarkan kajian penyelidik, pesawat Boeing 777 seperti MH370 akan menjana tenaga kinetik setara dengan gempa bumi kecil jika ia terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat.

    Kesan sedemikian akan cukup besar untuk dirakam oleh hidrofon beribu-ribu batu jauhnya.

    Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata kertas cadangan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian MH370 akan dibawa ke peringkat Kabinet pada Ogos depan.

    Bagaimanapun beliau berkata pihaknya perlu menyediakan kertas cadangan secara terperinci terlebih dahulu sebelum di bawa ke Kabinet.

    Kerajaan sebelum itu dilaporkan akan meneliti cadangan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 yang hilang.

    Oceans Infinity dilaporkan bersedia untuk memulakan misi pencarian pada November tahun ini.

    BH ONLINE (AGENSI)

  • Miza Ozawa mengaku menyundal, dipenjara sebulan miliki bahan lucah

    BANGI — Seorang wanita hamil enam bulan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas tuduhan mencari langganan persundalan menggunakan nama Miza Ozawa menerusi akaun Telegram, awal bulan lalu.

    Siti Amiza Baharuddin, 27, yang berniaga ‘ubat kuat’ membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

    Bagaimanapun, Nurdiyanah menetapkan 24 Jun ini untuk fakta kes dan jatuh hukum yang mana pertuduhan akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, jam 4 petang, pada 6 Jun lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Siti Amiza dalam rayuannya meminta denda minimum kerana sedang hamil enam bulan dan menghidap HIV.

    Bagaimanapun, Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan atas pertuduhan berkenaan.

    Dalam prosiding sama, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.

    Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, dia didakwa memiliki bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki ‘ubat kuat’ tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.

    Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran ke atas kedua-dua kesalahan dan hukuman berjalan berasingan.

    “Bagi kesalahan di bawah KKM, hukuman denda saja tidak memberi pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya.

    Siti Amiza dalam rayuannya memohon hukuman setimpal dan denda dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa.

    Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan di Bandar Bukit Mahkota selepas disyaki terbabit aktiviti promosi seks dan penjualan ‘ubat kuat’ di laman sosial, dikatakan mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, dilaporkan berkata, aktiviti persundalan itu dilakukan wanita berkenaan bersama empat lagi suspek yang turut ditahan.

    Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan berkata selain mereka, dalangnya, seorang wanita berusia 27 tahun dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’ serta dua warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 20 dan 26 tahun.

    Katanya, semakan ke atas dalang mendapati suspek utama itu pernah disabitkan kesalahan lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyerang ibunya.

    BH ONLINE

  • Tragedi bot karam di Sungai Rejang: Mayat mangsa kedua dijumpai, operasi mencari tamat

    BELAGA — Mayat terakhir mangsa bot panjang yang karam di Jeram Long Menjawah, Sungai Rejang, ditemui terapung awal pagi tadi.

    Mayat Rhuban Apparoo, 30, ditemui orang awam pada jarak kira-kira 18 meter dari lokasi bot karam sebelum dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

    “Sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat pada jam 8.22 pagi, pasukan bomba bergerak ke lokasi untuk mengeluarkan mayat mangsa dari sungai,” menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.

    Mayat mangsa dibawa ke Jeti Belaga dengan bot Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

    Dengan penemuan dua mayat, operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga ditamatkan pada jam 10 pagi.

    Semalam, mayat pertama, Balavishnu Permaloo, 36, dijumpai orang awam kira-kira jam 1.15 tengah hari, juga dalam keadaan terapung di tengah sungai pada jarak 50 meter dari lokasi bot karam.

    Dalam insiden sekitar jam 4 petang Ahad lalu, empat rakan sekerja dikatakan sedang bersiar-siar dengan menggunakan bot panjang disewa yang dikendalikan seorang jurumudi tempatan.

    Bagaimanapun, bot terbabit karam akibat dipukul ombak kuat jeram, menyebabkan dua mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah hanyut dibawa arus deras. Dua lagi rakan mereka dan jurumudi bot dilaporkan terselamat.

    BH ONLINE

  • Speaker DUN Kelantan umum kekosongan kerusi Nenggiri disandang wakil BERSATU

    KOTA BHARU — Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan bermula hari ini.

    Perkara berkenaan diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sidang media di pejabatnya, sebentar tadi.

    Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada BERSATU.

    “Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi.

    “Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan,” katanya.

    Ia sekali gus merungkai perkembangan isu kerusi DUN berkenaan selepas Mohd Azizi, ADUN BERSATU yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini mengikrar sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU sudah digugurkan keahliannya serta-merta.

    Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

    Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

    Ia selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

    BH ONLINE

  • Peniaga maut dilanggar motosikal

    MELAKA — Seorang peniaga yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut sejurus motosikal ditungganginya merempuh sebuah motosikal lain di Jalan Tun Fatimah, di sini, malam tadi.

    Dalam kejadian jam kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Ng Yong Ching, 33, maut di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Malim menghala ke Taman Merdeka.

    “Sejurus tiba di lokasi kemalangan mangsa sedang bergerak lurus di lorong kanan jalan, kemudian datang sebuah lagi motosikal jenis Benelli dari arah kiri yang keluar simpang hingga menyebabkan berlakunya perlanggaran antara keduanya.

    “Akibat pelanggaran, Yong Ching disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

    “Seorang lagi penunggang lelaki berusia 59 tahun yang juga Juru X-Ray mengalami patah kaki kanan dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    BH ONLINE

  • 7 rumah setinggan di Jalan Pudu terbakar, 3 kereta, 3 motosikal musnah

    KUALA LUMPUR — Tujuh rumah setinggan di Jalan Pudu di sini, dilaporkan terbakar malam tadi dengan enam daripadanya musnah seratus peratus.

    Kebakaran turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal selain memusnahkan tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat yang terletak berhampiran.

    Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran itu pada jam 8.04 malam.

    Seterusnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Jalan Tun Razak, BBP Cheras, BBP Jalan Hang Tuah dan Pasukan Bomba Sukarela Desa Petaling digerakkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

    Operasi membabitkan 25 anggota bomba serta enam jentera iaitu tiga jentera FRT, satu jentera Aerial Ladder Platform (ALP) serta dua jentera Water Tanker.

    Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran, kebakaran membabitkan tujuh rumah setinggan dengan enam daripadanya musnah seratus peratus dan sebuah lagi musnah 40 peratus.

    “Kebakaran juga membabitkan rumah kedai dua tingkat dengan kemusnahan seratus peratus di bahagian tingkat atas.

    “Terdapat juga tiga kereta dan tiga motosikal terbabit dalam kebakaran musnah seratus peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 1.43 pagi dan kejadian tidak membabitkan mangsa.

    “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Lelaki maut kereta dipandu rempuh tiang jejantas

    KOTA KINABALU — Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya melanggar tiang jejantas di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Balai Polis Karamunsing, di sini, awal pagi tadi.

    Mangsa Chee Teck Kok, 40, yang memandu kereta jenis Toyota Crown Athlete seorang diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

    Pegawai Pusat Gerakan Operasi , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi.

    Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Welson Juanis digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Crown Athlete disyaki terbabas sendiri lalu melanggar tiang jejantas.

    “Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas dalam masa hampir sejam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 2.30 pagi,” katanya.

    BH ONLINE

  • China sedia kerjasama dengan Malaysia untuk bina komuniti China-Malaysia – Li Qiang

    KUALA LUMPUR — China sedia bekerjasama dengan Malaysia, menjadikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik sebagai titik permulaan baharu, untuk menyelaraskan strategi pembangunan, mempereratkan kerjasama yang saling mendatangkan manfaat dan meningkatkan pertukaran serta pembelajaran bersama antara tamadun.

    Perdana Menteri China, Li Qiang yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, berkata China juga bersedia mempromosikan pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan dan memberikan sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan, dan kemakmuran rantau ini serta dunia secara keseluruhan.

    “Pada masa ini, China sedang memajukan pemodenan warga China secara menyeluruh melalui pembangunan berkualiti tinggi. Malaysia, di pihaknya, mempromosikan pembangunan negara di bawah visi Malaysia MADANI. China bersedia bekerjasama dengan Malaysia…,” katanya dalam kenyataan ketibaan yang disediakan kepada BERNAMA selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.

    Ini lawatan pertama Li ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac tahun lalu.

    Lawatannya berbetulan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China, selepas penandatanganan Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

    Menurut Li, sepanjang 50 tahun sejak penubuhan hubungan diplomatik, hubungan China-Malaysia telah mengekalkan momentum pertumbuhan yang baik.

    “Kami telah mengukuhkan kepercayaan strategik bersama, memperhebatkan pertukaran antara rakyat, dan mencapai hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama Jalur dan Laluan yang berkualiti tinggi.

    “Malaysia adalah ekonomi memuncul yang utama di Asia, ahli utama ASEAN, dan mempunyai peranan penting untuk kemakmuran serta kestabilan serantau,” kata Li.

    Perdana Menteri itu berkata pertumbuhan hubungan China-Malaysia telah membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, dan memberikan sumbangan positif kepada keamanan dan pembangunan di rantau ini.

    Li berkata, beliau berbesar hati untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

    “Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin menyampaikan salam mesra dan ucap selamat kepada kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, pada tahun lalu, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Anwar mencapai persefahaman penting mengenai pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala.

    Dalam lawatan rasminya kali ini, beliau “menantikan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan bertemu Perdana Menteri Anwar untuk perbincangan mendalam mengenai pembinaan komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia dan mempereratkan kerjasama strategik menyeluruh kami.”

    “Saya juga akan menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia dan Tahun Persahabatan China-Malaysia,” katanya.

    BH ONLINE memetik  BERNAMA

  • Guru maut, isteri cedera kereta terbabas masuk longkang

    GERIK — Seorang guru maut manakala isterinya cedera apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 767.7, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu berdekatan Kampung Kenayat, di sini, tengah hari tadi.

    Difahamkan, mangsa adalah guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh, Ipoh.

    Ketika nahas, pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari kampung Allahyarham di Kelantan selepas bercuti sempena Aidiladha.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.20 tengah hari membabitkan kereta Proton Saga dinaiki pasangan terbabit.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa berusia 59 tahun dengan isterinya berusia 46 tahun di tempat duduk penumpang hadapan, dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Kuala Kangsar.

    Katanya, setiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan yang menyebabkan mangsa lelaki itu maut di tempat kejadian.

    “Penumpang hadapan kereta terbabit bagaimanapun hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Lima kenderaan dan sebuah kren terbabit kemalangan di Jerantut

    JERANTUT — Lima kenderaan dan sebuah kren terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Jerantut–Temerloh berdekatan simpang masuk ke Kolej Komuniti, dekat sini. petang tadi.

    Bagaimanapun, ketika nahas jam 6.15 petang itu, hanya seorang pemandu kereta Honda CRV yang bersendirian cedera ringan dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan.

    Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Proton Exora keluar dari simpang Taman Wawasan (berdekatan kedai tayar di Kolej Komuniti menghala ke Temerloh.

    “Tiba-tiba datang sebuah Honda CRV dari arah belakang menghala ke arah sama merempuh belakang Proton Exora menyebabkan Proton Exora hilang kawalan dan melanggar kren Kobelko yang diparkir di tepi jalan hadapan kedai tayar.

    “Honda CRV turut hilang kawalan, terbabas, berpusing ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Proton Waja yang datang dari arah Temerloh,” katanya di sini, hari ini.

    Zukri berkata, pada masa sama, Toyota Harrier yang datang dari arah Temerloh cuba mengelak ke kiri daripada melanggar Honda CRV itu dan melanggar kereta Toyota Camry yang berada di kepala simpang keluar (sebelah kiri) dari Restoran Kopi Putih.

    “Semua pemandu dan penumpang semua kenderaan tidak mengalami kecederaan,” katanya sambil menambah kemalangan itu diklasifikasikan kes mengikut Kaedah 10 LN 166/59.

    Sementara itu, Komander Operasi, Osman Malek, berkata sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut serta sebuah jentera digerakkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

    Katanya, setiba di lokasi, bomba mendapati seorang pemandu Honda CRV mengalami kecederaan akibat tersepit dan berjaya dikeluarkan.

    BH ONLINE

  • Peniaga maut nahas kereta langgar lembu di lebuh raya

    KUALA LUMPUR — Seorang peniaga maut selepas kereta dipandunya terlanggar seekor lembu di Kilometer (KM) 24.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Sungai Buloh, awal pagi tadi.

    Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.55 pagi, menyebabkan mangsa yang berusia 30 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta di lorong paling kanan.

    “Kenderaan mangsa terlanggar seekor lembu yang turut berada di lorong paling kanan sebelum terbabas melanggar besi pembahagi di tengah laluan lebuh raya.

    “Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 30 tahun parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kemalangan membabitkan lembu pagi tadi adalah kejadian kedua yang dilaporkan berlaku dalam tempoh dua hari, membabitkan haiwan ternakan itu.

    Semalam, media melaporkan dua lembu terlepas dan menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah kereta di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Paradigm Mall menghala ke Puchong.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lembu itu terlepas dari kawasan surau berhampiran dan masuk ke kawasan LDP.

    Bagaimanapun, kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan terbabit.

    Terdahulu, katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan satu video tular memaparkan dua lembu terlepas dan menyebabkan kemalangan, pada jam 5.30 petang semalam.

    BH ONLINE

  • Wanita cedera dirempuh kerbau terlepas ikatan

    KOTA KINABALU — Seekor kerbau merempuh penduduk sehingga menyebabkan seorang wanita cedera selepas terlepas daripada ikatan ketika hendak dikorbankan sempena sambutan Aidiladha di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an mengalami retak tulang kaki kiri dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur, Rampayan, berkata ketika kejadian penduduk kampung sedang bersiap melakukan penyembelihan ibadah korban membabitkan lima ekor kerbau.

    “Ketika kejadian, penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih, namun satu tali pada kerbau berkenaan terputus menyebabkan ia terlepas.

    “Kerbau itu kemudian berlari dan berpusing di sekitar kawasan penyembelihan sambil merempuh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.

    “Seorang penduduk kampung ketika itu mahu menyelamatkan anaknya namun dia pula yang dirempuh oleh haiwan berkenaan sehingga cedera,” katanya.

    Susulan kejadian itu, katanya, penduduk kampung terpaksa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan awal dan membawa mangsa ke hospital.

    Katanya, haiwan korban itu bagaimanapun selamat disembelih selepas berjaya ditangkap semula oleh penduduk kampung.

    BH ONLINE

  • Mayat mangsa bot panjang karam ditemui, satu masih hilang

    BELAGA — Mayat seorang daripada dua mangsa yang hilang dalam kejadian bot panjang yang karam di kawasan jeram Sungai Long Menjawah ditemui, petang tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, berkata mangsa, Balavishnu Permaloo berusia 36 tahun dijumpai orang awam terapung di tengah sungai pada jarak 50 meter dari lokasi berlakunya insiden pada petang Ahad lalu.

    “Sejurus menerima makluman, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa dari sungai,” katanya.

    Mayat mangsa kemudiannya diangkat ke dalam bot sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

    “Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Rhuban Apparoo berusia 30 tahun, masih lagi hilang dan usaha pencarian akan diteruskan sehingga mangsa dijumpai,” katanya.

    Dalam insiden yang berlaku pada petang Ahad lalu, empat mangsa bersama-sama seorang jurumudi bot dikatakan sedang bersiar-siar di kawasan Jeram Long Menjawah sebelum bot terbabit karam dihempas ombak kuat.

    Berikutan insiden yang berlaku, dua penumpang dikatakan hilang dibawa arus deras sungai manakala dua lagi rakan mangsa dan seorang jurumudi bot yang merupakan warga tempatan berjaya menyelamatkan diri.

    BH ONLINE

  • Lapan ditahan kes curi wang RM24.2 juta daripada pelanggan bank

    KUALA LUMPUR — Polis menahan lapan individu berhubung kes kehilangan wang dari beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.

    Terbaru, tiga individu ditahan sehingga pagi tadi di sekitar Sabah, selepas lima individu berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Perlis sejak Khamis lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata suspek di Perlis akan diterbangkan ke Kota Kinabalu untuk permohonan reman dan siasatan lanjut.

    “Kita percaya akan ada lebih banyak lagi tangkapan dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas lapan suspek yang ditahan.

    “Selain memberi fokus kepada siasatan, usaha mendapatkan kembali wang yang dilaporkan hilang turut dilakukan,” katanya kepada BH hari ini.

    Ramli berkata tujuh tangkapan yang dilakukan di Sabah terdiri daripada ahli sindiket serta kakitangan bank.

    “Setakat ini seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes pecah amanah pada 2011.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya.

    Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan seorang wanita pegawai sebuah bank di Kota Kinabalu, berhubung kes kehilangan wang dari akaun simpanan pelanggan bank berkenaan berjumlah RM24.2 juta pada 13 Jun lalu.

    Sehari kemudian JSJK menahan seorang lelaki yang dipercayai mendalangi sindiket yang terbabit dalam kejadian ini.

    Ramli berkata siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank.

    BH ONLINE

  • 3 pelajar lelaki dakwa dilarikan, dipukul, dirakam gambar bogel

    JOHOR BAHRU – Tiga pelajar lelaki berusia 14 tahun mendakwa dilarikan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di sini sebelum dipukul dan dirakam gambar bogel, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima aduan berhubung insiden itu daripada mangsa pada jam 6.45 pagi semalam.

    Beliau berkata, remaja berkenaan mendakwa dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mereka telah didatangi sekumpulan 10 lelaki, termasuk seorang daripadanya dikenali mangsa.

    “Mangsa mendakwa kemudian dilarikan dengan menggunakan tiga kereta ke satu lokasi yang tidak dapat dipastikan.

    “Seterusnya, suspek didakwa memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian berkenaan terbongkar.

    “Kumpulan suspek itu kemudian dikata melarikan diri bersama barangan peribadi milik mangsa, dengan meninggalkan remaja terbabit di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan lebam di bahagian muka serta tangan, kemudian diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum tampil membuat laporan polis.

    “Susulan itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun, di Skudai kira-kira jam 8 malam tadi.

    “Polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain menjumpai semula barangan milik mangsa,” katanya.

    Balveer Singh berkata, keempat-empat suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, iaitu menculik yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.

    Selain itu, beliau berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

    Balveer Singh berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian. Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas juga sedang giat dijalankan.

    “Polis meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kes ini supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Intan Khaizira, melalui talian 013-6062618,” katanya.

    BH ONLINE

  • Tikam ibu dengan gunting, pengawal keselamatan direman tujuh hari

    BALIK PULAU — Pengawal keselamatan yang didakwa menikam ibunya dengan gunting di Relau di sini semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata Majistret membenarkan permohonan polis menahan reman suspek berusia 40 tahun, bermula hari ini.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dihubungi, hari ini.

    Semalam, seorang wanita berusia 67 tahun dilaporkan maut dipercayai ditikam dengan gunting oleh anaknya yang dikatakan ada masalah mental.

    Suspek juga dikatakan menghubungi abangnya kira-kira jam 5 petang, bagi memaklumkan kejadian.

    Razlam berkata, suspek yang juga anak bongsu kemudian ditahan di unit kediaman pangsapuri berkenaan.

    BH ONLINE

  • Lelaki maut Perodua Viva dipandu bertembung pikap

    TUARAN — Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung pikap dalam kemalangan di Jambatan Batangan berhampiran CKS Supermarket, pagi tadi.

    Dalam nahas jam 6.40 pagi, mangsa berusia 30 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Viva meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan badan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.44 pagi.

    “Mangsa yang tersepit pada bahagian pemandu dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

    “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

    Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE

  • Pencuci pinggan ‘skodeng’ wanita dalam tandas kena jel 5 bulan

    BATU PAHAT — Pencuci pinggan yang dicekup ketika mengintai wanita dalam tandas awam sehingga videonya tular di media sosial, Khamis lalu dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

    Tertuduh, Shee Ah Lai, 24, yang turut mempunyai lapan rekod lampau termasuk mencuri sabun di kedai serbaneka, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan seorang wanita berusia 29 tahun dengan cara mengintainya dalam tandas awam wanita di tingkat bawah, Square One Shopping Mall, Jalan Flora Utama, 12.30 tengah hari, 13 Jun lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dilaporkan menggunakan tandas awam terbabit sebelum melihat kelibat lelaki dari tandas sebelahnya.

    Mangsa ternampak seorang lelaki sedang mengintainya melalui ruang bawah antara tandas sebelah dengan tandas digunakan wanita itu.

    Pada masa sama, mangsa menjerit meminta pertolongan selain turut menjirus air ke arah tertuduh.

    Jeritan mangsa didengari pengawal keselamatan yang kemudian menahan tertuduh sedang bersembunyi dalam tandas bersebelahan lalu diserahkan kepada polis.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

    Terdahulu, pihak pendakwaan turut mengemukakan lapan kes lampau pelbagai kesalahan tertuduh termasuk mencuri dan juga pecah rumah kepada mahkamah.

    “Berdasarkan kes lampau, pihak pendakwaan mendapati tertuduh tidak pernah insaf malah masih mengulangi kesalahan jenayah. Jadi, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh,” hujahnya.

    Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 13 Jun lalu.

    BH ONLINE

  • Wanita Vietnam terbabit persundalan, salah guna pas didenda RM2,800

    BATU PAHAT — Wanita warga Vietnam didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan dan menyalah guna pas lawatan sosial.

    Thi Bich Vu, 37, yang juga ibu kepada seorang anak mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun kerana mencari langganan untuk tujuan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Maju, di sini, jam 10.25 malam, 4 Jun lalu.

    Pertuduhan kedua pula, dia didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

    Menurut fakta kes, polis menjalankan serbuan ke atas sebuah hotel dan mendapati tertuduh berada dalam sebuah bilik.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk tujuan aktiviti tidak bermoral itu.

    Hasil pemeriksaan polis mendapati tertuduh juga menyalah guna pas lawatan sosial untuk tujuan sama.

    BH ONLINE

  • Dua beradik maut selepas motosikal ditunggang bertembung kereta

    YAN — Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Teroi Titi Lahar, di sini, malam tadi.

    Mangsa dikenali sebagai Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22, dan adiknya, Ahmad Firashi Ilyas, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera dalaman badan dan kepala.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pemandu kereta terbabit yang berusia 61 tahun pula cedera di bahagian dada.

    Katanya, nahas berlaku jam 8.30 malam ketika motosikal yang ditunggangi dua beradik itu dari arah Yan menghala ke Gurun manakala pemandu kereta terbabit dari arah bertentangan.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu warga emas terbabit dipercayai hendak memotong dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi dua beradik itu.

    “Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Shahnaz berkata, kedua-dua beradik itu menetap di Kampung Charuk Tala, Mukim Jeneri, Sik.

    Katanya, Muhammad Zulqarnain bekerja sendiri manakala Ahmad Firashi Ilyas masih belajar.

    “Pemandu kereta pula beralamat di Perumahan Awam 2, Pantai Murni, di sini dan bekerja di kedai pajak gadai,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    BH ONLINE

  • Dua maut kemalangan dua kenderaan

    JOHOR BAHRU — Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3.5, Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke pusat bandar, awal pagi tadi.

    Ketika nahas kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa lelaki adalah penunggang motosikal, manakala wanita terbabit adalah penumpang sebuah Perodua Myvi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta cedera parah.

    Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Skudai menghala ke pusat bandar dipercayai hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal terbabit.

    “Akibat daripada pelanggaran, kereta terbabas melanggar penghadang jalan, berpusing dan terbalik, manakala motosikal pula terbakar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Raub berkata, ketiga-tiga mangsa kemalangan adalah warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 40-an.

    Katanya, dua yang maut parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala mangsa yang cedera kini masih di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Shaifulnizam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai satu kes kebakaran kenderaan pada jam 4.04 pagi.

    Setiba di lokasi kejadian, katanya, sebuah motosikal sedang terbakar dan pihaknya kemudian memulakan operasi pemadaman sebelum kebakaran terkawal pada jam 4.35 pagi.

    BH ONLINE

  • Pelajar lemas dalam tasik di kampus UNIMAS

    KUCHING — Pelajar ditemui lemas dalam tasik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, hari ini.

    Mangsa, Zoolfazairy Zaharen, 20, ditemui terapung berdekatan Jambatan Cinta yang merentangi tasik berkenaan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 8.32 pagi.

    Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

    “Setibanya di lokasi terdapat seorang mangsa lemas dalam tasik dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya.

    BH ONLINE

  • Mayat budak Orang Asli dihanyut arus ditemui

    GUA MUSANG — Kanak-kanak Orang Asli berusia tujuh tahun yang dihanyutkan arus di Sungai Brooke petang semalam ditemui maut tengah hari ini.

    Mayat mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat jam 12.05 tengah hari tadi, kira-kira 1.8 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mengesahkan perkara itu dengan mayat mangsa ditemukan tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai.

    Terdahulu, operasi mencari mangsa diteruskan pagi tadi dengan bantuan Unit Pengesan K9 dan Unit Skuba Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

    Operasi mencari mangsa turut menggunakan khidmat Denti dan Frankie iaitu anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

    Semalam media melaporkan kegembiraan seorang kanak-kanak Orang Asli yang pulang ke Kampung Setawar di RPS Kuala Betis, di sini, bertukar tragedi apabila dia dihanyutkan arus Sungai Brooke.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa mandi bersama ahli keluarganya di sungai itu.

    BH ONLINE