Dua maut kemalangan dua kenderaan

JOHOR BAHRU — Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3.5, Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke pusat bandar, awal pagi tadi.

Ketika nahas kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa lelaki adalah penunggang motosikal, manakala wanita terbabit adalah penumpang sebuah Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta cedera parah.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Skudai menghala ke pusat bandar dipercayai hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal terbabit.

“Akibat daripada pelanggaran, kereta terbabas melanggar penghadang jalan, berpusing dan terbalik, manakala motosikal pula terbakar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Raub berkata, ketiga-tiga mangsa kemalangan adalah warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Katanya, dua yang maut parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala mangsa yang cedera kini masih di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Shaifulnizam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai satu kes kebakaran kenderaan pada jam 4.04 pagi.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, sebuah motosikal sedang terbakar dan pihaknya kemudian memulakan operasi pemadaman sebelum kebakaran terkawal pada jam 4.35 pagi.

BH ONLINE