KOTA KINABALU — Seekor kerbau merempuh penduduk sehingga menyebabkan seorang wanita cedera selepas terlepas daripada ikatan ketika hendak dikorbankan sempena sambutan Aidiladha di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an mengalami retak tulang kaki kiri dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur, Rampayan, berkata ketika kejadian penduduk kampung sedang bersiap melakukan penyembelihan ibadah korban membabitkan lima ekor kerbau.
“Ketika kejadian, penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih, namun satu tali pada kerbau berkenaan terputus menyebabkan ia terlepas.
“Kerbau itu kemudian berlari dan berpusing di sekitar kawasan penyembelihan sambil merempuh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.
“Seorang penduduk kampung ketika itu mahu menyelamatkan anaknya namun dia pula yang dirempuh oleh haiwan berkenaan sehingga cedera,” katanya.
Susulan kejadian itu, katanya, penduduk kampung terpaksa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan awal dan membawa mangsa ke hospital.
Katanya, haiwan korban itu bagaimanapun selamat disembelih selepas berjaya ditangkap semula oleh penduduk kampung.
BH ONLINE