Peniaga maut nahas kereta langgar lembu di lebuh raya

KUALA LUMPUR — Seorang peniaga maut selepas kereta dipandunya terlanggar seekor lembu di Kilometer (KM) 24.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Sungai Buloh, awal pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.55 pagi, menyebabkan mangsa yang berusia 30 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta di lorong paling kanan.

“Kenderaan mangsa terlanggar seekor lembu yang turut berada di lorong paling kanan sebelum terbabas melanggar besi pembahagi di tengah laluan lebuh raya.

“Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 30 tahun parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan membabitkan lembu pagi tadi adalah kejadian kedua yang dilaporkan berlaku dalam tempoh dua hari, membabitkan haiwan ternakan itu.

Semalam, media melaporkan dua lembu terlepas dan menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah kereta di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Paradigm Mall menghala ke Puchong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lembu itu terlepas dari kawasan surau berhampiran dan masuk ke kawasan LDP.

Bagaimanapun, kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan terbabit.

Terdahulu, katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan satu video tular memaparkan dua lembu terlepas dan menyebabkan kemalangan, pada jam 5.30 petang semalam.

BH ONLINE