Mayat budak Orang Asli dihanyut arus ditemui

GUA MUSANG — Kanak-kanak Orang Asli berusia tujuh tahun yang dihanyutkan arus di Sungai Brooke petang semalam ditemui maut tengah hari ini.

Mayat mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat jam 12.05 tengah hari tadi, kira-kira 1.8 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mengesahkan perkara itu dengan mayat mangsa ditemukan tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai.

Terdahulu, operasi mencari mangsa diteruskan pagi tadi dengan bantuan Unit Pengesan K9 dan Unit Skuba Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

Operasi mencari mangsa turut menggunakan khidmat Denti dan Frankie iaitu anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Semalam media melaporkan kegembiraan seorang kanak-kanak Orang Asli yang pulang ke Kampung Setawar di RPS Kuala Betis, di sini, bertukar tragedi apabila dia dihanyutkan arus Sungai Brooke.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa mandi bersama ahli keluarganya di sungai itu.

BH ONLINE