JOHOR BAHRU – Tiga pelajar lelaki berusia 14 tahun mendakwa dilarikan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di sini sebelum dipukul dan dirakam gambar bogel, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima aduan berhubung insiden itu daripada mangsa pada jam 6.45 pagi semalam.
Beliau berkata, remaja berkenaan mendakwa dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mereka telah didatangi sekumpulan 10 lelaki, termasuk seorang daripadanya dikenali mangsa.
“Mangsa mendakwa kemudian dilarikan dengan menggunakan tiga kereta ke satu lokasi yang tidak dapat dipastikan.
“Seterusnya, suspek didakwa memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian berkenaan terbongkar.
“Kumpulan suspek itu kemudian dikata melarikan diri bersama barangan peribadi milik mangsa, dengan meninggalkan remaja terbabit di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan lebam di bahagian muka serta tangan, kemudian diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum tampil membuat laporan polis.
“Susulan itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun, di Skudai kira-kira jam 8 malam tadi.
“Polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain menjumpai semula barangan milik mangsa,” katanya.
Balveer Singh berkata, keempat-empat suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, iaitu menculik yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.
Selain itu, beliau berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Balveer Singh berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian. Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas juga sedang giat dijalankan.
“Polis meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kes ini supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Intan Khaizira, melalui talian 013-6062618,” katanya.
BH ONLINE