Wanita Vietnam terbabit persundalan, salah guna pas didenda RM2,800

BATU PAHAT — Wanita warga Vietnam didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan dan menyalah guna pas lawatan sosial.

Thi Bich Vu, 37, yang juga ibu kepada seorang anak mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun kerana mencari langganan untuk tujuan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Maju, di sini, jam 10.25 malam, 4 Jun lalu.

Pertuduhan kedua pula, dia didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

Menurut fakta kes, polis menjalankan serbuan ke atas sebuah hotel dan mendapati tertuduh berada dalam sebuah bilik.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk tujuan aktiviti tidak bermoral itu.

Hasil pemeriksaan polis mendapati tertuduh juga menyalah guna pas lawatan sosial untuk tujuan sama.

BH ONLINE