Category: Malaysia

  • Ada kesan darah pada bilik air, bilik rumah Zayn Rayyan – Pegawai penyiasat kanan

    PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu ada kesan darah pada salah sebuah bilik dan bilik air ketika proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) dilakukan pasukan forensik di rumah kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, pada 9 Disember 2023.

    Pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, berkata beliau bersama pasukan forensik berada di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dan proses luminol dilakukan di rumah arwah Zayn Rayyan pada jam 9.30 malam.

    Sebelum ini, saksi ke-28 pendakwaan itu bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    Mohd Hafizee memberitahu perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pada hari ke-17 perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa arwah, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

    Raja Zaizul Faridah: Apa proses luminol ini?

    Mohd Hafizee: Proses luminol adalah bertujuan untuk mendapatkan tindak balas kesan darah yang berada di sesuatu tempat kejadian.

    Raja Zaizul Faridah: Jadi ada ASP (Mohd Hafizee) membuat siasatan berkaitan perkara ini (luminol)?

    Mohd Hafizee: Saya telah menghantar semua ‘swabbing’ (calitan) yang diambil daripada pihak forensik… selepas dimaklumkan ada tindak balas darah, saya membuat siasatan untuk mengesahkan mengapa darah itu berada di dalam bilik dan juga bilik air. Hasil siasatan mendapati ada kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati (Zayn Rayyan), selain terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air.

    Raja Zaizul Faridah: Apa siasatan lanjut yang ASP buat?

    Mohd Hafizee: Saya ada merakam percakapan tertuduh. Hasil keterangan, tertuduh menyatakan si mati pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasaannya si mati akan mencalit kesan hingus atau hidung berdarah di kawasan dinding dalam bilik atau dalam rumah. Selain itu tertuduh, Ismanira ada juga menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur di dalam bilik air, namun (hasil ujian) DNA atau darah yang ditemui di dalam bilik air itu adalah milik tertuduh, Zaim Ikhwan, sebagaimana dalam laporan kimia.

    Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak menjelaskan kepada mahkamah mengenai pemilik darah yang dikesan di salah sebuah bilik rumah itu.

    Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.

    Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemui di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

    Perbicaraan di hadapan Syahliza bersambung esok.

    BH ONLINE

  • Kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari PPR

    KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam di kediamannya di PPR Batu Muda, Sentul, di sini, petang tadi.

    Berdasarkan maklumat penduduk, kanak-kanak berusia dalam lingkungan 12 tahun itu dilaporkan sedang bermain bersama adik-adiknya di dalam rumahnya.

    Seorang penduduk memaklumkan semasa sedang bermain, mangsa dilaporkan memanjat tembok sebelum terjatuh.

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta tidak sedarkan diri di bawah Blok C, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

    “Berdasarkan kecederaan yang dialami, ada pendarahan pada bahagian belakang kepala,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Pemerhatian di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan menerima panggilan pada jam 2.24 petang tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Pada masa ini kes masih dalam siasatan dan untuk peringkat awal, kita klasifikasikan kes sebagai Kematian Mengejut (SDR),” katanya.

    BH ONLINE

  • Lelaki kantoi rakam wanita hamil di pasar raya

    SEREMBAN – Tular di media sosial seorang lelaki ‘kantoi’ merakam video wanita mengandung, di sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini, dipercayai digunakan untuk perbuatan tidak senonoh.

    Hantaran dibuat seorang wanita di media sosial mendakwa dia diekori seorang lelaki dalam lingkungan 20-an yang dilihat seolah merakam dirinya menggunakan telefon bimbit.

    Wanita itu memaklumkan ketika kejadian dia bersama anak-anak dan suami sebelum menyedari tindakan pelaku, namun pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa.

    Bagaimanapun, dakwanya, selepas diekori beberapa ketika dan lelaki berkenaan masih melakukan perkara sama, dia bertindak berjumpa suspek itu.

    “Rupanya ada beberapa video saya, siap ‘zoom’ belakang saya. Dan beberapa video perempuan mengandung yang lain.

    “Berpurdah pun ada. ‘Taste’ memang dengan orang mengandung. Video terpaksa dipotong atas tindakan seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Menurut wanita itu lagi, dia sudah membuat laporan polis dan hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 20 tahun itu adalah penuntut universiti di sekitar Seremban.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

    BH ONLINE

  • Dua beradik maut dirempuh MPV di Felda Ulu Tebrau

    JOHOR BAHRU – Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, malam tadi.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan dan adiknya, Ammar Saifullah, 15.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata nahas kira-kira jam 9.50 malam itu membabitkan sebuah motosikal Honda yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bersama pembonceng, seorang wanita berusia 20 tahun.

    “Siasatan awal mendapati motosikal datang dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau sebelum dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan arahan lampu isyarat merah.

    “Pada masa sama, sebuah MPV yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan dikatakan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat berwarna hijau.

    “Pemandu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

    Katanya, kedua-dua mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Manarina Hasya syahid, dijemput Allah ketika menuntut ilmu – Bapa

    SEGAMAT – “Arwah pergi sebagai syahid akhirat, dijemput Allah ketika sedang menuntut ilmu,” demikian kata Muhammad Karim Sulaiman, 51, bapa kepada Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang maut dilanggar bas kelmarin.

    Sambil mengaku sudah kering air mata mengenang pemergian anak sulungnya itu, bapa kepada empat anak itu berkata, dia akhirnya reda dengan ketentuan Allah untuk dirinya serta ahli keluarga.

    “Sesiapapun tidak mahu kejadian ini berlaku namun takdir Allah kami reda dan menerima ketentuan Ilahi. Insya-Allah, Allah buat yang terbaik …apapun perancangan kita, lebih baik lagi perancangan dari Allah.

    “Dari situlah hati saya terbuka dan reda semuanya yang berlaku. Kita tahu bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, jadi ini menjadi ujian untuk saya, kena terima seadanya,” katanya selepas pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak malam tadi.

    Jenazah pelajar semester empat jurusan pemasaran selamat disemadikan pada jam 11.45 malam.

    Dalam pada itu, Muhammad Karim mengakui dia perasan perubahan terhadap arwah ketika sambutan Aidilfitri namun tidak menyangka ia berakhir dengan peristiwa ini.

    Menurutnya, Manarina Hasya adalah anak yang baik malah ketika Aidilfitri, arwah sangat rajin melakukan kerja rumah bukan seperti biasa.

    “Aidilfitri baru-baru ini, kami ada nampak perubahan pada arwah, menolong ibu bapa tanpa disuruh tapi kita tak perasan, dia buat kerja sampai habis, biasa kalau disuruh dia agak memilih.

    “Arwah tanya kami apa yang sepatutnya dia tolong untuk melakukan kerja di rumah dan akhirnya saya baru menyedari itulah yang terakhir daripada arwah,” katanya sambil menahan sebak.

    Sementara itu, ditanya mengenai adakah keluarganya akan mengambil tindakan undang-undang susulan insiden itu, Muhammad Karim berkata, dia menyerahkan sepenuh terhadap pihak universiti dan polis untuk menjalankan siasatan.

    Tanpa mengambil tindakan terburu-buru, dia percaya pihak universiti dan polis akan menjalankan siasatan sebaik mungkin.

    “Setakat ini pihak UUM ada siasatan tersendiri bersangkut paut dengan siasatan pihak polis, apa-apa keputusan bergantung kepada hasil siasatan kedua-dua pihak,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pelajar UUM maut dihimpit bas: Polis ambil keterangan dua pemandu

    ALOR SETAR – Dua pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhammad Karim, sudah diambil keterangan polis berhubung insiden berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kedua-dua pemandu berusia 32 dan 37 tahun itu dibebaskan selepas keterangan diambil.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu bas berusia 32 tahun yang melanggar belakang sebuah lagi bas itu didapati negatif.

    “Pemandu terbabit hanya mengaku tidak perasan bas di hadapannya ketika kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengenai hasil laporan bedah siasat, Mohd Radzi berkata, Manarina Hasya, 22, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung (cardiac contusion) yang berpunca daripada hentakan kenderaan.

    Katanya, ia hasil laporan bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Manarina Hasya meninggal dunia pada jam 6.30 petang semalam akibat kecederaan parah di badan ketika mendapatkan rawatan di hospital.

    Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Johor dengan van jenazah Pusat Islam UUM pada jam 1.15 tengah hari tadi, sejurus selepas bedah siasat selesai dilakukan di HSB.

    BH ONLINE

  • Pegawai kanan polis ditahan di pusat hiburan, positif 4 jenis dadah

    KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, di sini, Jumaat lalu.

    Pegawai lelaki berpangkat Inspektor berusia 43 tahun itu diberkas kerana dipercayai berhibur dan mengambil jus disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan terbabit.

    Menurut sumber, tangkapan dilakukan sekitar jam 5.05 petang hasil pemeriksaan mengejut yang dijalankan JSJN Bukit Aman selepas menerima aduan dan maklumat.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah, iaitu amfetamina, metamfetamina, ketamin dan benzo.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis minuman jus di pusat hiburan itu, dan bekalan dadah terbabit diperoleh daripada seorang lelaki warga tempatan di tempat berkenaan,” katanya.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan pegawai polis itu.

    “Kes disiasat Polis Selangor, dan pegawai itu direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Remaja didakwa rogol budak 10 tahun dalam tandas

    KOTA BHARU – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dalam tandas di sebuah kampung di sini pada November tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah tandas jam 1.30 tengah hari pada 21 November tahun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun serta sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh diwakili peguam, Muhammad Khairul Azwan Azhan.

    Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan serius dan mangsa baru berusia 10 tahun.

    Muhamamd Khairul Azwan bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan memandangkan tahanan reman tidak sesuai untuk anak guamnya yang masih remaja.

    Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM8,000 dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa. Mahkamah turut menetapkan 21 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Dua beradik didakwa miliki dadah

    KOTA BHARU – Dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 114 gram dadah disyaki ganja di sebuah bengkel di Kampung Seberang Pasir Mas, di sini, 6 April lalu.

    Wan Mohd Afiq Wan Kamal, 26, dan abangnya, Wan Mohd Ariff, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa memiliki dadah berbahaya disyaki ganja dengan berat kasar 114 gram di sebuah bengkel di Kampung Seberang Pasir Mas, di sini, sekitar jam 4.30 petang pada 6 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun atau sebat sehingga 10 sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada jaminan ditawarkan.

    Mahkamah menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula dan laporan kimia.

    BH ONLINE

  • Dua anggota URB disyaki terima rasuah direman 6 hari

    GEORGETOWN – Dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan ketika menjalankan tugas di Bayan Baru, dekat sini, awal pagi semalam.

    Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 28 dan 39 tahun bermula hari ini sehingga 26 April ini.

    Terdahulu suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang dalam keadaan tangan bergari diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga kira-kira jam 9.50 pagi.

    Menurut sumber, kedua-dua anggota itu dipercayai meminta wang suapan daripada pengadu yang dipercayai terbabit dalam kes dadah di sebuah pangsapuri di kawasan Bayan Baru kira-kira jam 3 pagi semalam.

    Difahamkan, pengadu menyerahkan wang sebanyak RM1,500 menerusi dua transaksi secara dalam talian sebagai balasan supaya dia tidak dikenakan tindakan selain motosikalnya miliknya turut disita anggota berkenaan.

    Kedua-dua suspek masing-masing ditahan di Balai Polis Bayan Baru pada jam 7.35 malam dan 9 malam tadi dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    BH ONLINE

  • Penuntut UUM maut dihimpit bas kemalangan dalam kampus

    Manarina Hasya maut akibat kemalangan bas ketika berjalan untuk menaiki kenderaan itu dalam kampus UUM di Sintok, hari ini. BH ONLINE – Foto ihsan polis dan Facebook UUM

    SINTOK – Seorang penuntut perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM) maut akibat kemalangan bas ketika berjalan untuk menaiki kenderaan itu dalam kampus universiti terbabit, di sini, hari ini.

    Dalam insiden sekitar jam 8.45 pagi, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, dari FELDA Chemplak, Labis di Johor, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah pada badan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim, berkata kemalangan berlaku di perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana kampus itu membabitkan dua bas.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah bas dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di perhentian bas untuk mengambil penumpang.

    Namun, beliau berkata, bas itu tiba-tiba dilanggar sebuah bas lain dari arah belakang yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.

    “Impak perlanggaran berkenaan menyebabkan bas yang berhenti itu menggelongsor ke hadapan lalu melanggar besi penghadang dan seterusnya menghimpit penuntut perempuan terbabit yang sedang berjalan menunggu giliran untuk menaiki bas yang melanggar itu.

    “Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di hospital itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, UUM dalam satu kenyataan pula memaklumkan pihak universiti sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan berkenaan.

    Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pihak universiti sudah mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden itu.

    Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan berkenaan.

    “UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang diterima nanti,” katanya.

    BH ONLINE

  • Cuba serang orang ramai, lelaki tersungkur ditembak pengawal keselamatan

    KUALA LANGAT – Seorang lelaki yang disyaki bertindak agresif terhadap orang ramai dengan menggunakan senjata tajam, cedera selepas kakinya ditembak oleh seorang pengawal keselamatan.

    Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, di sini, hari ini.

    Berdasarkan rakaman video berdurasi 57 saat yang tular dalam laman sosial, beberapa individu dilihat menggunakan kerusi bagi mempertahankan diri daripada diserang lelaki itu.

    Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya tersungkur apabila seorang pengawal keselamatan melepaskan satu das tembakan pada kakinya.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

    Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung insiden itu.

    BH ONLINE

  • Duda dituduh rakam video bogel bekas kakak ipar

    MELAKA – Jurutera duda didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merakam video bogel bekas kakak ipar menggunakan pen kamera dalam bilik air rumahnya, tahun lalu.

    Tertuduh berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

    Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada dua anak didakwa hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 40 tahun dengan cara merakam video menggunakan pen kamera tersembunyi dalam keadaan pengadu bogel.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam bilik air sebuah rumah di Tanjung Kling dekat sini pada pertengahan Jun 2024, kira-kira 2 petang.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau keduanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun peguam Kent Tan Chow Teng merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dan menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Kelantan catat kes penyalahgunaan dadah tertinggi, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah – Ayob Khan

    ALOR SETAR – Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia membabitkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Terengganu pula kedua tertinggi dengan 914 kes, diikuti Perlis (965 kes) dan Kedah (898 kes) bagi jumlah penduduk sama.

    Beliau berkata, berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara,

    Daripada jumlah itu, sebanyak 61 peratus daripada mereka yang berusia antara 15 dan 39 tahun, yang tergolong dalam kumpulan umur paling produktif.

    “Jumlah itu membabitkan 56 peratus daripada mereka adalah lelaki dan 75 peratus daripadanya adalah Melayu, dengan 37 peratus daripada mereka menganggur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Ayob berkata, daerah Pendang di negeri ini masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di seluruh negara iaitu 1,798 bagi setiap 100,000 penduduk.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.

    “Berdasarkan statistik terkini pada tahun lalu, daerah Pendang masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah paling tinggi di negara ini iaitu 1,789 bagi setiap 100,000 penduduk.

    “Selepas Pendang, empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442); Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Putih (1,265) mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini,” katanya.

    Ayob berkata, berdasarkan kajian, 47 peratus daripada penyalahgunaan dadah kerana pengaruh rakan sebaya, manakala 18 peratus lagi mencuba dadah kerana sekadar ingin mencuba.

    Dalam pada itu, Ayob berkata, polis akan meneruskan tindakan membanteras sindiket pengedaran dadah di negara ini susulan serbuan meluas Ops Kenari selama lapan hari di Kedah dan Perlis baru-baru ini, yang bermula pada 9 April lalu.

    “Sasaran utama kami ialah pembekal dan pengedar utama.

    “Kami sudah mengetahui bahawa ramai pengedar dadah sudah melarikan diri ke negara jiran untuk mengelak daripada ditahan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pencuri pakaian dalam wanita ditahan

    SEREMBAN – Lelaki yang mempunyai hobi pelik mencuri pakaian dalam wanita dan wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian di Kampung Baru Rasah, di sini kelmarin, ditahan polis, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil risikan pihaknya mengenal pasti suspek dan mengarahkan lelaki itu menyerah diri.

    “Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir ke Balai Polis Campbell, di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi selepas dipanggil.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan siasatan masih dijalankan termasuk pembabitan suspek dalam curi lain di kawasan ini,” katanya, hari ini.

    Semalam, dilaporkan seorang lelaki mempunyai hobi aneh apabila dikesan berulang kali mencuri pakaian dalam wanita, malah pakaian dalam milik warga emas juga menjadi sasarannya.

    Kejadian itu dirakam berlaku di sebuah rumah di Kampung Baru Rasah, di sini, apabila pemilik rumah tidak tahan dengan kejadian itu dan memasang kamera litar tertutup (CCTV).

    Mohamad Hatta dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun berhubung kejadian itu dan sebelum ini pernah menerima laporan kejadian sama.

    BH ONLINE

  • Penoreh getah hilang dari rumah dikhuatiri lemas di Jeram Besu

    RAUB – Seorang penoreh getah yang disedari hilang sejak pagi semalam dikhuatiri lemas selepas kenderaan miliknya ditemui di kawasan parkir Pusat Rekreasi Jeram Besu, dekat Sega di sini.

    Mat Salleh Junoh, 63, disedari hilang oleh anak lelakinya pagi semalam selepas mangsa tiada di rumah di Perumahan Sega Tat, di sini.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, anak mangsa itu percaya bapanya keluar menaiki memandu kereta berikutan kenderaan itu tiada di rumah, malah mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

    “Ketika mencari, anak mangsa menemukan kereta milik mangsa di kawasan parkir pusat rekreasi, namun mangsa tiada.

    “Anak mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Dong jam 7.57 petang semalam, dengan maklumat diterima ada saksi melihat mangsa menjala ikan di pusat rekreasi itu,” katanya.

    Pasukan penyelamat terdiri anggota Balai Polis Dong dan bomba yang dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk penduduk melakukan pencarian di susur sungai bermula lokasi terakhir mangsa dilihat pagi semalam.

    Sehingga kini operasi pencarian masih diteruskan.

    BH ONLINE

  • Tak sempat rai hari jadi, sepupu ditemukan lemas

    KOTA BHARU – Hasrat seorang remaja lelaki untuk meraikan majlis hari jadi sepupunya tidak kesampaian apabila ditemukan lemas dalam tali air di Kampung Tunjong, di sini, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, jasad Muhammad Farish Daniel Shahrul Irwan Al Hafiz, 13, ditemukan lemas oleh penduduk kampung di tali air selepas dipercayai mandi bersama seorang rakannya.

    Sepupu mangsa, Alif Hakimi Mohd Azam, 19, berkata, Muhammad Farish pulang dari sekolah jam 2 petang semalam dan masuk ke biliknya untuk berbual seperti biasa.

    “Sambil mengurut bahu saya, Farish (mangsa) memberitahu hari ini (semalam) dia menduduki peperiksaan di sekolah.

    “Farish kemudiannya memberitahu yang dia lapar dan saya ingin memberikan duit untuknya membelikan makanan tapi dia menolak sebelum keluar dari rumah bersama seorang rakan dengan menaiki motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Mulong, di sini, hari ini.

    “Farish kemudiannya memberitahu yang dia lapar dan saya ingin memberikan duit untuknya membelikan makanan tapi dia menolak sebelum keluar dari rumah bersama seorang rakan dengan menaiki motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Mulong, di sini, hari ini.

    BH ONLINE

  • Syed Saddiq ubah niat pindah wang ke akaun peribadi ASB – Pendakwaan

    PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan menghujahkan tiada pengeluaran wang sumbangan yang dikumpulkan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dalam dua program berasingan pada April 2018 digunakan bagi kempen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, berkata sebaliknya bekas Menteri Belia dan Sukan itu selaku perayu mengubah niat dengan memindahkan sejumlah wang bernilai RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya selepas PRU14.

    Ketika berhujah di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Farah Ezlin berkata, perayu, saksi pembelaan kedua (SD2) (Ulya Aqamah Husamudin) dan SD4 (Siti Nurul Hidayah) menyatakan bahawa dalam persediaan menghadapi PRU14, terdapat dua program ‘fundraising’ diadakan bagi tujuan kempen perayu di Parlimen Muar iaitu ‘Makan Amal Muo’ pada 7 April 2018 di Banquet Hall, Muar; dan ‘Fundraising Battle for Johor’ pada 8 April 2018 di De Palma Hotel, Ampang.

    “Perayu mengeluarkan resit perbelanjaan untuk digunakan bagi PRU14, tetapi itu tidak bermakna wang itu berpunca daripada dananya sendiri.

    “Tiada bukti yang menunjukkan bahawa sumber wang yang digunakan dalam kempen itu sememangnya berasal daripada dana peribadi dan perlu ‘reimbursement’ (dibayar balik),” katanya.

    Katanya, SD4 berperanan sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan kempen perayu langsung tidak dimaklumkan bahawa wang ‘fundraising’ yang diraih adalah bagi tujuan reimbursement.

    “Ini selari dengan keterangannya bahawa SD4 hanya mengetahui fakta bahawa wang fundraising diarahkan oleh perayu kepada SP13 (Rafiq Hakim Razali) untuk dipindahkan ke akaun peribadi perayu selepas perayu disiasat.

    “SD4 juga tidak mempunyai pengetahuan bahawa wang itu kemudiannya dipindahkan ke akaun ASB peribadi perayu. Seharusnya SD4 sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal perbelanjaan kempen adalah orang yang sewajarnya tahu dan dapat memberikan penjelasan berkenaan jumlah yang dibelanjakan, jumlah yang hendak digantikan, sebaliknya, SD4 ‘was left in the dark’,” katanya.

    Selain itu, Farah Ezlin berkata, dalam keterangan bela diri Syed Saddiq memberitahu pembayaran balik kempen PRU14 adalah ‘after thought’ (perkara yang difikirkan kemudian).

    “Ini kerana perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini adalah sebagai “reimbursement” kepada perbelanjaan kempen berkenaan,” katanya.

    Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

    Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

    Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari ARMADA yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    BH ONLINE

  • Prosiding rayuan Syed Saddiq selesai, keputusan ditangguh ke tarikh lain

    PUTRAJAYA – Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dihadapinya akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

    Keputusan rayuan Syed Saddiq, 33, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

    Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

    Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dikendalikan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.

    Dalam prosiding hari ini, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh untuk keputusan.

    “Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak di atas hujahan ini, namun kami memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusan berkenaan.

    “Jadi buat masa ini, kami akan tetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes terlebih dahulu,” katanya.

    Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

    Syed Saddiq kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

    Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari ARMADA BERSATU yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    BH ONLINE

  • Syed Saddiq arah ‘clearkan’ wang RM1 juta elak disita SPRM – Timbalan Pendakwa Raya

    PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan berhujah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi arahan supaya Penolong Bendahari Armada BERSATU ‘clearkan’ wang RM1 juta bagi mengelak wang itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata Syed Saddiq, 33, selaku perayu didakwa bersubahat dengan cara mengarahkan Rafiq Hakim Razali, 35, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah.

    Menurutnya, ada keterangan menunjukkan perayu mengarahkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) mengeluarkan wang RM1 juta itu pada 6 Mac 2020.

    “Perayu mengarahkan SP13 untuk ‘clearkan’ wang itu dan ada keterangan menunjukkan dia menyuruh bekas EXCO Armada BERSATU, Abdul Hannaan Khairy, 32, dan seorang lagi saksi, meletakkan tarikh kebelakang di resit dan sebut harga pada 2 Jun 2020.

    “Menerusi perbualan telefon, perayu juga meminta SP13 untuk ‘clearkan’ wang yang disimpan dalam akaun bank parti itu, kerana khuatir wang itu akan disita oleh SPRM.

    “Ketika disoal balas, SP13 turut memberitahu mahkamah, maksud ‘clearkan’ ialah tidak menyimpan wang di rumah,” katanya.

    Beliau berkata, ketika pemeriksaan utama, SP13 memberitahu perayu menyuruh wang itu dikeluarkan dari akaun Armada kerana perayu memaklumkan, wang itu adalah hasil titik peluhnya sendiri.

    Wan Shaharuddin memberitahu panel tiga hakim, bekas Menteri Belia dan Sukan itu bukan dituduh atas kes melakukan pecah amanah sebaliknya bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah.

    Susulan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, pembelaan memanggil semua saksi untuk membuktikan setiap pertuduhan bagi kesalahan bersubahat adalah berdasarkan arahan perayu.

    Beban yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan katanya, hanya perlu ditunjukkan berdasarkan perayu mengeluarkan arahan ke atas SP13 sahaja dan tidak lebih daripada itu.

    Seterusnya beliau berkata, mereka hanya untuk menunjukkan perayu mengeluarkan arahan itu adalah suatu jenayah.

    “Berikutan itu, saya menghujahkan bahawa, Hakim Mahkamah Tinggi mensabit dan menjatuhkan hukuman berlandaskan kepada undang-undang serta keterangan yang betul.

    “Tiada kekhilafan di pihak hakim bicara sehingga membawa kepada salah laku keadilan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    “Justeru dengan itu kami memohon supaya sabitan terhadap pertuduhan subahat pecah amanah ini, tidak diganggu,” katanya yang menambah hukuman sebatan terhadap Syed Saddiq adalah munasabah kerana tertuduh masih muda atau tidak melebihi usia setengah abad.

    Syed Saddiq memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

    Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

    BH ONLINE

  • Dua lelaki masing-masing didenda RM100,000 ceroboh tanah milik kerajaan Pahang

    RAUB – Seorang ahli perniagaan dan pekerjanya masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini. hari ini selepas mengaku bersalah membersihkan tanah kerajaan negeri Pahang seluas 0.101 hektar tanpa kebenaran pada November tahun lalu.

    Hakim Noor Aisah Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan pemandu jengkaut, Chong Teck Kong, 62, serta turut memerintahkan mereka dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

    Selain itu, Noor Aisah memerintahkan jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.

    Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, dua lelaki berkenaan secara bersama melakukan kesalahan tanpa kebenaran sah dengan membersihkan tanah kerajaan negeri di Kampung Seberang Jelai, Mukim Telang, Kuala Lipis kira-kira jam 3 petang, 21 November 2024.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 425(1)(b) dan Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiuddin Azizan, manakala peguam Lim Zi Shin mewakili kedua-dua tertuduh.

    Pada prosiding itu, Muhammad Taqiuddin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh memandangkan isu pencerobohan tanah adalah sesuatu yang serius.

    Bagaimanapun, Lim memaklumkan anak guamnya tidak melakukan kesalahan jenayah berat dan mereka hanya membersihkan tanah yang terletak bersebelahan dengan tanah milik tertuduh bagi menghalang haiwan liar masuk ke tanah milik Bong.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Guru lelaki hantar pautan lucah kepada guru wanita direman

    JOHOR BAHRU – Seorang guru lelaki ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

    Tempoh reman sehingga Selasa depan itu berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek berusia 32 tahun mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan memakai baju lokap berwarna ungu kira-kira jam 9 pagi, sebelum meninggalkan mahkamah selepas dua jam setengah diiringi anggota polis.

    Semalam, lelaki itu ditahan susulan pendedahan dibuat seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di daerah ini mengenai tingkah laku tidak senonoh suspek.

    Guru wanita itu mendakwa pernah menyaksikan suspek berkelakuan intim dengan beberapa pelajar perempuan selain menerima pautan lucah daripadanya.

    Suspek tampil membela diri dengan membuat hantaran di akaun Facebooknya dan menyatakan tindakan menghantar pautan lucah itu sebagai tidak disengajakan.

    BH ONLINE

  • Bekas anggota Imigresen ditahan bantu siasatan kes rasuah lebih RM10 juta

    KUANTAN – Seorang lagi bekas anggota Jabatan Imigresen ditahan semalam kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).

    Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kira-kira jam 11.55 malam, berkaitan kes rasuah membabitkan jumlah melebihi RM10 juta.

    Suspek yang bersara awal pada 1 Januari 2024 kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 22 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan itu.

    Terdahulu, media melaporkan tiga anggota Jabatan Imigresen, termasuk seorang wanita, ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan kes sama.

    Semua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan SPRM Pahang di beberapa lokasi termasuk Nilai (Negeri Sembilan), Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

    Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara sejak tahun 2021 hingga 2024.

    Sindiket itu dipercayai meraih keuntungan jutaan ringgit hasil rasuah, yang turut diagihkan kepada anggota Imigresen lain.

    Mereka didakwa menjadi ‘tali barut’ bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi ‘counter setting’ di KLIA1 dan KLIA2.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Dua remaja maut motosikal rempuh treler

    JERANTUT – Dua nyawa remaja melayang apabila motosikal dinaiki mereka merempuh treler di Kilometer 1, Jalan Jerantut–Benta, di sini, malam tadi.

    Kedua-dua mangsa, Adam Syahnizam Abdul Satar dan Muhammad Aiman Hakim Mohd Khairul Rusdy, masing-masing berusia 18 tahun, disahkan maut dalam kejadian jam 11.10 malam itu.

    Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata kejadian berlaku apabila treler tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Benta menuju ke Bandar Jerantut dikatakan gagal mengelak motosikal yang secara tiba-tiba keluar dari arah kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal, Adam Syahnizam, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang, Muhammad Aiman Hakim, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Jerantut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

    Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

    “Pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya didapati negatif dadah,” katanya.

    Beliau juga berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Zukri juga meminta saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE