Dua beradik maut selepas motosikal ditunggang bertembung kereta

YAN — Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Teroi Titi Lahar, di sini, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22, dan adiknya, Ahmad Firashi Ilyas, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera dalaman badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pemandu kereta terbabit yang berusia 61 tahun pula cedera di bahagian dada.

Katanya, nahas berlaku jam 8.30 malam ketika motosikal yang ditunggangi dua beradik itu dari arah Yan menghala ke Gurun manakala pemandu kereta terbabit dari arah bertentangan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu warga emas terbabit dipercayai hendak memotong dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi dua beradik itu.

“Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahnaz berkata, kedua-dua beradik itu menetap di Kampung Charuk Tala, Mukim Jeneri, Sik.

Katanya, Muhammad Zulqarnain bekerja sendiri manakala Ahmad Firashi Ilyas masih belajar.

“Pemandu kereta pula beralamat di Perumahan Awam 2, Pantai Murni, di sini dan bekerja di kedai pajak gadai,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BH ONLINE