2 maut kereta, lori berlanggar tengah malam

JOHOR BAHRU: Dua lelaki maut, manakala seorang terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Pontian Lama berhampiran bulatan Taman Desa Skudai, di sini, tengah malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Suraini Adnan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.11 tengah malam.

Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Waja dan lori 10 tan.

“Akibat perlanggaran itu, seorang mangsa lelaki berusia 43 tahun tersepit di kerusi pemandu kereta berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi lelaki berusia 43 tahun turut disahkan meninggal dunia tetapi tidak tersepit dalam kereta sama dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan tiba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suraini berkata, pasukan kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kedua-dua mangsa yang terkorban dikenali pasti sebagai Ganesh a/l Raja Sagaran dan Parani Kumar a/l Suboharinam.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit yang juga seorang lelaki berusia 36 tahun, bagaimanapun dilaporkan terselamat tanpa mengalami kecederaan serius.

“Operasi menyelamat kemudian ditamatkan pada jam 2.03 pagi,” katanya.

BH ONLINE