Category: Malaysia

  • Pemandu kereta diserang sawan rempuh hospital

    MUAR — Dua lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke pekarangan Jabatan Pengimejan dan Diagnostik (X-ray) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, malam tadi, dipercayai akibat pemandunya diserang sawan.

    Pemandu dan penumpang masing-masing berusia 30 dan 28 tahun adalah pekerja syarikat pembekalan alatan perubatan ortopedik yang mahu menghantar bekalan ke HPSF dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    Dalam kejadian jam 10 malam itu, kereta terbabit juga dilaporkan ‘tersangkut’ sejurus merempuh tiang yang turut mengakibatkan beberapa kerosakan lain di dalam bangunan itu.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata sebaik tiba dalam kawasan HPSF, pemandunya dipercayai diserang sawan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan jabatan X-ray terbabit.

    “Akibat kemalangan pemandu dan penumpang cedera dibawa ke bahagian kecemasan untuk menerima rawatan. Pemandunya kini tidak sedarkan diri dirawat di zon merah manakala penumpang zon kuning,” katanya ketika dihubungi.

    Raiz Mukhliz berkata, siasatan awal mendapati, pemandunya mempunyai sejarah diserang sawan sebelum ini.

    Beliau berkata, pihak masih menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di HPSF serta mendapatkan maklumat melalui orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

    “Pada masa sama, polis meminta bantuan orang awam yang mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) agar tampil bagi membolehkan siasatan dijalankan.

    “Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, seorang saksi kejadian, Aida Ismail, 27, berkata dia nampak sebuah kereta bergerak ke lobi dan tidak mengesyaki apa-apa sehingga terdengar bunyi seperti objek jatuh disusuli jeritan.

    “Beberapa orang yang berada berdekatan berlari menuju ke arah kereta itu,” katanya.

    Menurutnya, pada mulanya dia menyangka pemandu kereta mahu menurunkan penumpang di lobi hospital.

    “Mujurlah ia berlaku bukan waktu puncak… jika tidak, mungkin kesannya lebih teruk,” katanya.

    Selepas kejadian itu, katanya, beberapa petugas segera menghulurkan bantuan kepada pemandu dan penumpang kereta.

    BH ONLINE

  • Remaja sanggup bermotosikal dari Selangor ke Pahang nak main bola, tapi maut dalam perjalanan

    LIPIS — Seorang remaja sanggup menunggang motosikal dari Kuala Langat, Selangor ke Kuala Lipis, di sini semata-mata untuk menyertai perlawanan bolasepak petang semalam, namun hasratnya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan.

    Kejadian kira-kira jam 4.30 petang di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta, dekat sini ketika Syarif Izzaq Samsudin, 17, dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Saujana Putra di Kuala Langat untuk ke Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Kuala Lipis.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Ismail Man, berkata siasatan awal mendapati nahas di laluan berselekoh itu dipercayai berpunca apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel bahagian kiri sebuah lori yang berada di laluan sama.

    “Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dari arah Raub menuju Padang Tengku, Lipis untuk menghantar muatan kayu getah ke sebuah kilang. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

    “Polis memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan. Kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya hari ini.

    BH ONLINE

  • Anggota TLDM maut digilis pikap selepas terlanggar anjing

    KOTA TINGGI — Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut digilis pikap sejurus terjatuh daripada motosikal ditunggangi selepas terlanggar anjing malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kejadian jam 8.40 malam itu berlaku di Jalan Pularek, Pengerang di sini.

    Katanya mangsa lelaki yang berusia 24 tahun dan bertugas di KD Sultan Ismail (KDSI) Tanjung Pengelih menunggang motosikal jenis Honda RS150.

    “Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal, Toyota Hilux yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 22 tahun dan seekor anjing.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang ke kem terbabit terlanggar seekor anjing yang melintas jalan.

    “Mangsa kemudiannya terjatuh sebelum digilis Toyota Hilux akibat keadaan jalan yang gelap tanpa lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hussin berkata mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi.

    “Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Diserang adik kandung dengan parang, peniaga putus urat jari

    ALOR GAJAH — Peniaga putus urat jari kiri selepas terkena parang dilibas adik kandungnya dalam kejadian amuk di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, dekat sini.

    Dalam kejadian 8.47 malam kelmarin, mangsa berusia 33 tahun pada mulanya diserang dan dipukul dengan kayu oleh adik lelaki yang juga penganggur.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 27 tahun itu turut memecahkan bahagian depan motosikal pengadu.

    Bimbang tindakan agresif itu, beliau berkata, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan bantuan bagi menahan adik lelakinya.

    “Empat anggota polis bersama pengadu kemudian pergi semula ke lokasi dan operasi turut dibantu empat anggota RELA.

    “Mangsa kemudian masuk ke dalam rumah dan dia diserang dengan menggunakan parang oleh suspek hingga cedera pada tangan dan jari kiri.

    “Suspek yang agresif bagaimanapun berjaya ditahan oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ashari berkata, mangsa yang parah di bahagian tangan kiri dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

    “Mangsa dilaporkan mengalami putus urat jari sehingga menyebabkan tiga jari kirinya tidak dapat digerakkan.

    “Keadaannya stabil namun masih berada dalam pemantauan doktor dan ditempatkan di wad Hospital Melaka,” katanya.

    Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif suspek mengamuk dan mencederakan abang kandungnya,” katanya.

    BH ONLINE

  • Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari lagi

    PETALING JAYA — Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman selama tujuh hari berakhir hari ini, disambung reman enam hari lagi.

    Peguam kepada pasangan itu, Fahmi Abd Moin, ketika ditemui pemberita mengesahkan perintah reman baharu itu yang akan tamat pada Rabu depan dikeluarkan Majistret Ainaa Muhamad Kamal.

    Terdahulu, kedua-dua individu itu dilihat masuk Mahkamah Majistret pada jam 9.30 pagi bagi prosiding sambungan atau penamatan reman.

    BH ONLINE

  • Doktor lelaki ditahan disyaki amang seksual pesakit bawah umur

    PARIT — Seorang doktor lelaki ditahan di Hospital Changkat Melintang, di sini, Rabu lalu kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap pesakit perempuan bawah umur.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, mangsa yang berusia 15 tahun mendakwa doktor terbabit mengganggunya secara seksual semasa menerima rawatan di wad kecemasan hospital itu pada Isnin lalu.

    Beliau berkata, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga seterusnya bertindak membuat laporan polis pada jam 9.14 malam Selasa lalu.

    “Susulan itu, sepasukan pegawai polis menahan doktor lelaki berusia 29 tahun itu di hospital terbabit jam 2 petang, kelmarin.

    “Suspek direman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan.

    “Mangsa dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau turut memohon orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294.

    BH ONLINE

  • 'Saya dianiaya, ini semua fitnah' – Bapa Zayn Rayyan

    PETALING JAYA — Ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tiba di Kompleks Mahkamah, di sini pagi ini, bagi prosiding sambungan atau penamatan reman.

    Pasangan suami isteri itu yang direman selama tujuh hari berakhir hari ini, memakai baju lokap sebelum dibawa masuk Mahkamah Majistret pada jam 9.30 pagi.

    Ketika dikawal ketat polis, bapa Zayn Rayyan sempat mengatakan ‘saya dianiaya, ini semua fitnah’ sebelum keadaan menjadi kecoh apabila beberapa individu dipercayai ahli keluarga menjerit sebelum pasangan terbabit dibawa masuk mahkamah.

    Pihak media tidak dibenarkan mengikuti prosiding itu memandangkan masih lagi di peringkat permohonan untuk siasatan.

    Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan akan memohon sambungan reman kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa.

    Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

    Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

    Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

    Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

    Sementara itu, kira-kira 20 individu dipercayai ahli keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin berkumpul di luar Kompleks Mahkamah di sini pagi ini, sejurus ibu bapa kanak-kanak autisme itu dibawa masuk ke Mahkamah Majistret untuk prosiding reman.

    Mereka memegang kain rentang bertulis ‘Allahuakbar Keadilan Untuk Zaim & Isma’, ‘Justice For Zayn Rayyan’ dan ‘Keadilan Untuk Zayn Rayyan’.

    Seorang wanita dipercayai ahli keluarga terdekat kepada bapa Zayn Rayyan menjerit supaya keadilan diberikan kepada anaknya itu.

    “Kami mahu pembunuh yang sebenar, ibu tahu Zaim tidak salah,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pendakwaan mohon mahkamah batal rayuan Editor Sarawak Report

    KUALA TERENGGANU — Pendakwaan hari ini memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan rayuan pengasas dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun, bagi kesalahan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

    Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pendakwaan Negeri, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

    Beliau berkata, ini susulan tindakan perayu yang tidak pernah hadir pada mana-mana prosiding mahkamah sepanjang kes itu berlangsung iaitu sejak pendakwaan, sabitan mahupun rayuan.

    “Saya difahamkan Yang Arif Hakim telah mengeluarkan arahan untuk perayu hadir pada pengurusan kes hari ini. Bagaimanapun, perayu sendiri ternyata masih gagal hadir.

    “Justeru, saya dengan rendah diri memohon rayuan ini dibatalkan atas alasan ketidakhadiran perayu sepanjang masa sama ada dari Mahkamah Majistret hingga ke Mahkamah Tinggi.

    Tindakan perayu itu secara automatiknya telah mengetepikan hak dalam prosiding mahkamah ini,” katanya.

    Engku Ahmad Rashdi berkata, tindakan wanita warga Britain itu seolah-olah bertujuan melengah-lengahkan masa mahkamah.

    Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Rewcastle-Brown, pula memohon untuk membalas hujah pendakwaan, namun Hassan menasihati beliau agar berbuat demikian pada prosiding seterusnya, iaitu 21 Julai ini memandangkan rekod rayuan belum diterima daripada Mahkamah Majistret.

    Hakim itu juga turut mengulangi perintah agar perayu hadir pada prosiding seterusnya.

    Ngek Seong kemudian memaklumkan pemberita pihaknya telah mengemuka hujahan ringkas berhubung isu ketidakhadiran perayu.

    “Untuk pengurusan kes hari ini, kami juga telah failkan petisyen rayuan pada Selasa selepas Mahkamah Majistret memberi alasan penghakiman berhubung kes ini pada hari sama,” katanya.

    Ketika prosiding pertama pengurusan kes rayuan Rewcastle-Brown pada 7 Mei lalu, Hassan mengarahkan wanita itu hadir ke mahkamah hari ini.

    Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas Rewcastle-Brown selepas memutuskan beliau bersalah memfitnah Sultanah Nur Zahirah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

    Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom menulis buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose’ yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 pagi 14 September 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama, di sini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

    Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya dan turut mengarahkan agar Rewcastle-Brown pada hadir tarikh berkenaan.

    BH ONLINE

  • Warga emas maut dilanggar lori mengundur, pemandu ada 100 saman

    IPOH — Seorang lelaki warga emas maut akibat dilanggar sebuah lori yang sedang mengundur dalam kejadian di kawasan kilang di Jalan Lahat-Simpang Pulai dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asistan Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata siasatan mendapati pemandu lori berusia 44 tahun berkenaan memiliki 100 rekod saman trafik termasuk tiga kesalahan kemalangan jalan raya manakala lori dipandu mempunyai 10 saman terkumpul.

    Beliau berkata kemalangan membabitkan pejalan kaki berusia 66 tahun itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari dan berdasarkan siasatan awal, pemandu lori terbabit tidak mengetahui keberadaan mangsa yang sedang berdiri di belakang kenderaan itu.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada dan perut manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abang Zainal Abidin berkata mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau sehubungan itu meminta mana-mana saksi kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Syafiq Fauze menerusi talian 013-6713 177 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    BH ONLINE

  • 67 kes godam telefon menerusi fail APK, rugi RM1.1 juta – PDRM

    KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 67 kes penggodaman telefon pintar bagi tujuan mencuri data melalui fail APK yang membabitkan kerugian lebih RM1.1 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri lain.

    “Bukan hanya menghantar fail APK melalui mesej jemputan perkahwinan, sindiket turut menggunakan taktik tawaran pekerjaan, ejen pembersihan dan pembantu rumah, jual beli kenderaan serta jual beli barang kemas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

    Tahun lalu, Ramli berkata, JSJK merekodkan 676 kes membabitkan kerugian lebih RM18.6 juta.

    Beliau berkata kes tertinggi yang dilaporkan tahun itu direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

    Isnin lalu, Harian Metro melaporkan, PDRM menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan penyebaran mesej jemputan perkahwinan menerusi fail APK yang akan menyebabkan telefon pintar digodam.

    Ramli dilaporkan berkata, penjenayah dikesan menggunakan taktik itu sebagai modus operandi penggodaman telefon pintar untuk tujuan mencuri data dan mengakses maklumat kewangan.

    Antara taktik yang dikesan masih aktif digunakan sejak pertengahan tahun lalu ialah penyebaran kad jemputan kahwin digital melalui fail APK yang bersamanya ditanam perisian hasad atau Malware.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mesej jemputan perkahwinan berkenaan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mangsa.

    BH ONLINE

  • Tuduhan rogol Mondy Tatoo: Pendakwaan tidak terus kes – Peguam bela Ebit Lew

    KUALA LUMPUR — Pihak pembelaan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew mendakwa pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pertuduhan kes membabitkan pendakwah terkenal berkenaan yang dikatakan merogol wanita warga Indonesia, Mondy Tattoo.

    Peguam bela Ebit Lew, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata polis selesai menyiasat kes itu dan keputusan pendakwaan supaya tidak meneruskan kes.

    “Laporan polis berkaitan kes rogol dibuat Mondy pada 14 September 2023 dan polis selesai menyiasatnya baru-baru ini.

    “Ebit Lew tidak akan dituduh sebab tiada kes. Saya dimaklumkan oleh polis, barang kes seperti telefon bimbit dan kad sim pendakwah itu dipulangkan semalam.

    “Dakwaan (merogol) amat serius tetapi tiada kes. Kes (saman) fitnah terhadap Mondy ditetapkan untuk penilaian ganti rugi pada 1 Julai ini dan Mahkamah Sesyen Shah Alam akan memutuskan kuantumnya,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Pada 11 Oktober tahun lalu, media melaporkan kertas siasatan berhubung dakwaan kes rogol dan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal terbabit diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik berkata kedua-dua kertas siasatan itu dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut.

    Pada 22 September tahun sama, Ebit Lew dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap pempengaruh media sosial, Caprice dan Mondy.

    Sebelum ini, Mondy membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh pendakwah terbabit.

    Ebit Lew juga membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya serta satu lagi laporan penafian kes gangguan seksual.

    Susulan itu, polis merakam percakapan Caprice yang juga penyanyi rap dan Mondy berhubung laporan terbabit.

    BH ONLINE

  • 'Bergaul bebas di Kelantan boleh didenda hingga RM50,000'

    KOTA BHARU — Kelantan meluluskan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 yang menyaksikan kadar denda dinaikkan sehingga RM50,000 antaranya bagi kesalahan percampuran serta pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan.

    Cadangan penggubalan RUU itu bagi menambah baik Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 (Enakmen Hiburan 1998) yang berkuat kuasa selama dua dekad sejak 15 Jun 1999.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan, berkata penambahbaikan lain adalah larangan aktiviti hiburan yang mengandungi, mempromosi, mempunyai atau diselitkan dengan unsur yang bercanggah dengan akhlak, tatasusila dan moral, menyokong atau menormalisasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), memecah belah keharmonian dan perpaduan kaum serta menghina agama.

    “Kadar denda bagi kesalahan yang dicadangkan dalam RUU ini dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 bagi memberi pengajaran kepada individu atau perbadanan supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

    “RUU berkenaan akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norsham Sulaiman (PAS-Semerak) mengenai status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang sudah lama tidak dipinda pada persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

    Muhamed Fadzli berkata kajian penambahbaikan Enakmen Hiburan 1998 dilaksanakan Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh beliau.

    “Berdasarkan kajian itu yang mencadangkan untuk memansuhkan enakmen sedia ada iaitu Enakmen Hiburan 1998 dengan menggubal RUU Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan yang baharu.

    “Draf RUU Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang 8 Mei lalu dan disahkan pada 15 Mei lalu yang bersetuju meluluskan cadangan itu.

    “Pada masa sama, Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri juga sedang mengkaji dan menggubal peraturan-peraturan di bawah RUU ini,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, prosedur penguatkuasaan juga ditambah baik berkaitan kuasa untuk masuk, menyiasat dan menyita peralatan hiburan termasuk barangan elektronik.

    Menurutnya, draf RUU ini digubal dengan mengambil kira dasar semasa kerajaan negeri.

    BH ONLINE

  • Marah keluarga meninggal di Palestin, lelaki didenda RM100 lekat bendera Israel

    KAJANG — Mahkamah Majistret hari ini mengenakan denda RM100 terhadap seorang pekerja sambilan sewaan kereta selepas mengaku bersalah meletak pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera, bulan lalu.

    Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz, turut memerintahkan Tariq Hazim Mohd Yusri, 25, menjalani hukuman penjara sehari jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa meletakkan pelekat bendera Israel di restoran makanan segera iaitu tempat seorang wanita bekerja yang mana keamanan mungkin terganggu di Batu 10, Jalan Hulu Langat, jam 4.42 petang pada 29 Mei lalu.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika disabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, seorang pekerja restoran itu menyedari ada beberapa pelekat bendera negara terbabit dilekatkan di lantai berdekatan premis berkenaan.

    Wanita itu kemudian memaklumkan perkara itu kepada pengurusnya dan hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh melakukan kesalahan berkenaan sebelum beredar dengan menaiki kereta.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Nurul Hafzan bertanya kepada tertuduh apa yang mencetuskan tindakan itu sebelum Tariq Hazim menegaskan kemarahan akibat ada keluarga meninggal dunia di Palestin.

    “Kamu (tertuduh) kena fikir kesan perbuatan sebab kalau kamu buat begitu (lekat bendera Israel di restoran makanan segera), ia tidak akan menjadikan keadaan lebih baik,” kata Nurul Hafzan.

    Ketika rayuan meringankan hukuman, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, Nabilla Rosli, memohon anak guam dikenakan denda minimum kerana hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.

    “Tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan ibu mentua yang juga ibu tunggal, manakala ibu bapanya masing-masing ada penyakit gout dan jantung.

    “Tertuduh menyesal atas kesilapan dan memohon maaf kepada semua pihak,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, pula memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

    BH ONLINE

  • Tiga pembantu penguasa Kastam didakwa terima rasuah

    SEREMBAN — Tiga pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebagai balasan tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat di pintu keluar Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Tertuduh Earizal Mohd Khalil, 43, Ngu Su Siew, 35, dan Mohamad Izuwan Mohd Ali, 32, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

    Mengikut tiga pertuduhan terhadap Earizal, dia sebagai Penguasa Kastam Gred WK19 yang bertugas di JKDM KLIA, secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang berjumlah keseluruhan RM2,950 daripada pemilik sebuah syarikat melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank tertuduh.

    Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh tidak memeriksa lori-lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.

    Kesalahan itu dilakukan antara 28 Mei 2017 hingga 3 Mac 2018 di sebuah bank di Kuala Pilah.

    Su Siew dan Mohamad Izuwan yang juga anggota Gred WK19 dan bertugas di lokasi sama memperoleh masing-masing RM3,000 dan RM1,200 daripada individu sama bagi tujuan sama.

    Su Siew melakukan kesalahan itu pada 20 Disember 2022 manakala Mohamad Izuwan pada 23 Ogos 2019 dan 31 Mac 2020 di sebuah bank di Nilai.

    Berikutan itu kesemua mereka melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Peguam Helmi Hassan mewakili Earizal, manakala Su Siew dan Mohamad Izuwan diwakili Afiqah Mohd Azmi.

    Dalam rayuan dikemukakan, peguam masing-masing memohon jaminan minimum atas alasan anak guam mereka mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.

    Pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan.

    Kesemua tertuduh turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan semula kes 12 Julai ini.

    BH ONLINE

  • Bapa disaman polis kerana anak umur 11 tahun pandu kereta

    SIBU — Bapa kepada seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang dikesan memandu sebuah kereta secara bersendirian di bandar ini, sudah dikenakan tindakan saman oleh polis.

    Ketua Polis Daerah Sibu. Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dibuat selepas kanak-kanak itu berjaya dikesan kira-kira 6.50 petang semalam.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu dan ibu bapanya dibawa ke Pejabat Trafik Polis Sibu untuk siasatan.

    “Hasil siasatan mendapati pemandu kereta tersebut iaitu kanak-kanak lelaki berkenaan menghidap autisme dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, polis mendapat maklumat berhubung video berdurasi 30 saat yang tular di laman sosial kira-kira 3 petang semalam, menunjukkan kanak-kanak itu memandu kereta bersendirian di Jalan Kampung Nyabor di sini.

    BH ONLINE memetik BERNAMA

  • Warga emas maut, putus kaki kanan

    TAWAU — Warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanannya terputus apabila motosikal diboncengnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Tawau-Semporna dekat sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan kira-kira jam 3.55 petang itu membabitkan motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

    Beliau berkata, mangsa berumur 70 tahun membonceng motosikal ditunggang pelajar lelaki berumur 15 tahun dari arah Inderasabah menuju ke Kampung Block 31, dikatakan dilanggar Perodua Alza dipandu lelaki berumur 45 tahun bersama seorang penumpang dari arah Lapangan Terbang Tawau menuju ke pusat bandar.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan penunggang motosikal yang dikatakan secara tiba-tiba mengubah haluan. Akibat jarak terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang tayar sebelah kiri motosikal menyebabkan kedua-duanya terseret ke bahu kiri jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini lewat malam tadi.

    Jasmin berkata, pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan putus kaki sebelah kanan sementara remaja lelaki turut cedera pada bahagian badan manakala pemandu dan penumpang MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Anak dituduh ambil rasuah, ini reaksi Hamzah

    KUALA LUMPUR — Pagi tadi, anak lelaki Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.

    Muhammad Faisal, 40, yang juga ahli perniagaan dituduh menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.

    Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat dekat Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, di sini pada Mac 2018. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.

    Faisal mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 selepas memerintahkan dia menyerahkan pasport sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Ini kali kedua Faisal dihadapkan ke mahkamah selepas pada April tahun lalu, dia didakwa dan kemudian mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan kes seleweng minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban.

    Malam ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU merangkap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, mengeluarkan satu kenyataan berhubung pendakwaan terhadap anak lelakinya itu.

    Bekas Menteri Dalam Negeri yang juga pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mendakwa pendakwaan terbaharu itu sebagai siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada beliau sebagai ketua pembangkang.

    “‘Tak dapat tanduk, telinga dipulas’,” katanya turut mendakwa tindakan itu selepas kerajaan melalui pelbagai agensi, gagal mencipta naratif, persepsi dan pertuduhan politik ke atas pemimpin BERSATU, termasuk beliau.

    Ahli Parlimen Larut itu juga menyifatkan pendakwaan anaknya itu sebagai taktik lapuk yang didakwa usaha terdesak menutup mulut pengkritik dengan menyasarkan pemimpin PN dan ahli keluarga mereka.

    “Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” katanya.

    BH ONLINE

  • 'Hari ini Ismail tak tunggu saya lagi…' – Tun M

    Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Allahyarham Ismail Manaf.

    KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembantunya, Ismail Manaf yang meninggal dunia hari ini sebagai seorang yang luar biasa setianya, tidak pernah tidak datang kerja dan tidak pernah cuai.

    Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Dr Mahathir berkata, Allahyarham yang setia bersama beliau sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1970-an sehingga semalam, masih lagi datang bekerja.

    “Hari ini saya berasa sangat sedih. Saya kehilangan seorang kawan baik, pembantu dan penyokong kuat saya yang meninggal dunia pagi tadi. Hari ini Ismail tak tunggu saya lagi. Saya kehilangan seorang pembantu yang ikhlas. Saya amat terasa kehilangan Ismail,” katanya.

    Dr Mahathir berkata, apabila beliau datang pejabat, tidak pernah Ismail tiada di pejabat dan Allahyarham setia menunggu untuk membuat kerja-kerja yang diperlukan.

    Beliau percaya Allahyarham berkhidmat bukan semata-mata untuk mendapat upah, tetapi kerana melakukan sesuatu yang baik.

    “Semalam Ismail tidak sihat dan sepatutnya bercuti hari ini. Sebelum pulang kami sempat bersalaman. Saya tidak sangka itulah kali terakhir kami berjumpa. Itulah ketentuan Allah SWT, setiap yang hidup pasti akan mati,” katanya.

    BH ONLINE

  • 'Jika ada rakyat Malaysia tak boleh berbahasa Melayu, itu satu 'dosa'…' – Prof Madya Dr Ramalinggam

    KUALA LUMPUR — Tidak salah untuk menguasai bahasa asing, tetapi rakyat Malaysia seharusnya fasih bahasa kebangsaan.

    Itu penegasan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Madya Dr R Ramalinggam yang menjelaskan, bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi lambang jati diri.

    “Kalau ada rakyat negara ini tidak boleh berbahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, bagi saya itu satu dosa. Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) tidak sepatutnya menjadi sebab ramai tidak menguasai bahasa kebangsaan.

    “Ini kerana bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan, menjadi lambang jati diri dan bangsa,” katanya yang juga Pensyarah Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Beliau berkata demikian ketika tampil dalam program Suara dari Anjung Dewan Bahasa: Bahasa Melayu dan Kewarganegaraan di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

    Soalan bahasa Melayu dalam temuduga mohon kewarganegaraan

    Seorang lagi ahli panel, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula mencadangkan mereka yang memohon kewarganegaraan Malaysia perlu diuji soalan lebih sukar dalam ujian penguasaan bahasa Melayu, termasuk elemen yang menguji pengetahuan berkaitan nahu, istilah tertentu serta lain-lain.

    Pakar perundangan dan perlembagaan itu menyifatkan tahap soalan ujian penguasaan bahasa Melayu ketika ini terlalu rendah dan membuatkan calon lulus mudah.

    “Skop soalan mudah itu tidak pernah dipinda sejak Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang ketika itu bertujuan memudahkan calon, terutama warga emas lulus ujian menjadi warganegara.

    “Bagi saya, berdasarkan keadaan semasa, tahap kesukaran ujian itu perlu dipertingkatkan kerana pengetahuan calon dalam bahasa kebangsaan penting. Ia kerana kewarganegaraan hanya boleh dipohon melalui dua kaedah, iaitu secara pendaftaran atau secara naturalisasi.

    “Secara pendaftaran, misalnya dengan perkahwinan dan secara naturalisasi, apabila seseorang berusia 21 tahun boleh membuat permohonan menjadi warganegara Malaysia,” katanya.

    Shamrahayu berkata, seseorang tidak fasih atau tidak berupaya berkomunikasi dalam bahasa Melayu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan, sekali gus peraturan berkaitan bahasa perlu dipinda dalam proses permohonan menjadi warga negara Malaysia untuk menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

    “Mengikut Perlembagaan, permohonan kewarganegaraan boleh dibuat melalui pendaftaran dan secara naturalisasi. Dalam kedua-dua kategori ini, pemohon memerlukan satu pengisytiharan bahawa mereka akan taat setia kepada (undang-undang) Malaysia dan ada kelayakan boleh berbahasa Malaysia.

    “Ia tidak mengatakan bahasa Melayu sebagai syarat atau perlu fasih (bahasa Melayu), cuma menyatakan seseorang itu boleh berbahasa, boleh mengamalkan adat resam masyarakat negara ini,” katanya turut menjelaskan, syarat naturalisasi memerlukan pemohon bermastautin di Malaysia tidak kurang 10 tahun.

    “Jadi sekiranya seseorang itu tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu, tidak menjadi satu sebab untuk melucutkan kewarganegaraannya,” katanya.

    BH ONLINE

  • Jurutera hilang sejak 18 Mei ditemui meninggal dunia dalam kereta

    JOHOR BAHRU — Seorang Jurutera yang dilaporkan hilang sejak 18 Mei lalu ditemukan meninggal dunia dalam keretanya di Taman Sentosa di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat Muhammad Hamizan, 33, ditemukan dalam kereta miliknya yang diparkir di hadapan sebuah premis perniagaan, pada jam 11 pagi.

    Katanya mayat mangsa yang dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia ditemui sudah mereput di tempat duduk pemandu.

    “Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang telah menjumpai seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta. Mangsa adalah orang yang dilaporkan hilang sebelum ini.

    “Dianggarkan mangsa sudah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari dan mayat ditemukan sudah mula membusuk.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah. Kereta diletakkan di hadapan deretan premis kedai dan kejadian ini tidak membabitkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Menurut Raub, punca kematian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

    “Sebelum ini keluarga ada membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa pada 19 Mei lalu di Kota Tinggi,” katanya.

    Terdahulu, pada 29 Mei lalu, abang mangsa, Muhammad Haziq Ramli, 34, merayu bantuan orang ramai agar memaklumkan kepada balai polis sekiranya mempunyai maklumat berikutan kehilangan adiknya itu selepas 10 hari.

    Muhammad Haziq berkata, adiknya yang bekerja sebagai jurutera tapak di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang, kali terakhir dilihat oleh rakan kerja pada petang 18 Mei lalu, dan gagal dihubungi sehingga kini.

    Difahamkan adiknya itu tidak pergi bekerja dari 19 hingga 22 Mei, dan hilang bersama kenderaan miliknya iaitu Proton Saga FLX warna merah.

    BH ONLINE

  • Lelaki curi kereta dari stesen minyak Kuantan, sempat ceroboh rumah di Karak, tertidur 3 jam

    BENTONG — Lelaki yang melarikan kereta jenis Honda City 1.5L V dari sebuah stesen minyak di Jalan Semambu, Kuantan, kelmarin, sempat menceroboh sebuah rumah di Kampung Chinta Manis, Karak dan tertidur hampir tiga jam di situ sebelum diberkas polis tengah malam tadi.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata lelaki tempatan berusia 40 tahun itu yang sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah berkenaan, ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam selepas polis menerima maklumat daripada pemilik kediaman itu.

    Beliau berkata, pemilik rumah yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya itu, memaklumkan terdapat lelaki tidak dikenali datang dan terus masuk ke dalam rumah mereka, kira-kira jam 10 malam lalu mengurung keluarga itu dalam sebuah bilik.

    “Lelaki terbabit kemudian tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi polis. Dengan penahanan ini, kes tular yang berlaku pada 3 Jun lalu dapat diselesaikan.

    “Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai enam rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, hari ini.

    Yahaya berkata, dengan penahanan itu juga, polis berjaya mengesan semula kereta Honda City terbabit di pasar awam di Karak, iaitu lokasi kenderaan itu ditinggalkan sebelum lelaki berkenaan menumpang orang awam ke Kampung Chinta Manis.

    “Polis sedang menyiasat lanjut mengapa suspek menukar nombor plat kereta dan kemudian meninggalkan kereta di pasar. Kereta itu tidak rosak, cuma terdapat kesan calar pada beberapa bahagian selepas tampalan poster dikikis suspek bagi mengelak dikesan.

    “Selain itu, suspek turut mengaku terlibat dalam kes kecurian motosikal yang digunakan dalam kejadian sebelum melarikan kereta terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, polis merampas sejumlah barangan daripada lelaki itu, antaranya satu jam tangan jenama Lashida, satu jam tangan jenama Bonia, dua gunting, dua pisau lipat serta sarung kepala.

    Lelaki itu, katanya, direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

    Isnin lalu, seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta milik anaknya dalam kejadian di stesen minyak di Jalan Semambu, kira-kira 3.10 petang.

    Sebelum itu, mangsa, Napisah Muhammad, 68, bersama suami, Mohamed Halim Omar, 77, dan anak perempuan mereka seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas.

    BH ONLINE

  • Peraih durian tak mengaku ceroboh kasino Genting Highlands, curi cip RM4.6 juta

    RAUB — Seorang peraih durian didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk sebuah bilik kasino di Genting Highlands dan mencuri 1,160 cip bernilai lebih RM4.6 juta milik Genting Highlands Berhad, Oktober tahun lepas.

    Tertuduh, Lee Kian Keong, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bersama tiga lagi yang telah dituduh sebelum ini, melakukan pecah masuk dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat untuk simpanan harta benda dengan mencuri 1,160 cip bernilai RM4,607,800 milik Genting Highlands Berhad di dalam bilik Twlight 3, Sky Kasino Genting Highlands, pada jam 7.12 pagi, 28 Oktober tahun lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

    Peguam bela, Dinesh Muthal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bergantung kepada pekerjaan sebagai peraih buah bermusim (durian) serta menyara ibunya yang berusia 70 tahun.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

    Sebelum ini, tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong pada November tahun lepas atas pertuduhan sama.

    BH ONLINE memetik BERNAMA

  • SPRM tahan pegawai kanan PBT disyaki rasuah RM20,000

    SHAH ALAM — Seorang pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM20,000.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor.

    Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk melulus dan mempercepatkan permohonan kontraktor tanpa melalui prosedur ditetapkan antara 2019 hingga tahun ini.

    Dia ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 6.29 petang semalam.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    BH ONLINE

  • Malaysia kekal pendirian larang masuk kapal, kontena syarikat Israel

    PUTRAJAYA — Kabinet tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan kontena dari syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, daripada memasuki negara ini.

    Jurucajap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kontena syarikat perkapalan itu dikesan cuba dibawa masuk beberapa syarikat lain yang menyewa kontena dari syarikat berkenaan.

    “Dalam mesyuarat (Kabinet) hari ini, kita dapat maklum balas dan penegasan daripada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) bahawa yang dikawal di pelabuhan, sebarang kapal dari syarikat ZIM tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan di Malaysia.

    “Sementara kontena, juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun dalam beberapa keadaan, kadangkala bukan kapal ZIM yang bawa kontena ZIM, tapi kontena ini disewakan kepada syarikat lain untuk dibawa atas kapal mereka.

    “Pemantauan dibuat secara rapi dan sudah diputuskan (Kabinet) tidak membenarkan kontena ini dibawa masuk ke negara. Apa yang berlaku di sempadan Perlis itu adalah selaras dasar kerajaan,” katanya pada sidang media di sini.

    Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Pengumuman Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di kementeriannya di sini, hari ini.

    BH ONLINE