Jurutera hilang sejak 18 Mei ditemui meninggal dunia dalam kereta

JOHOR BAHRU — Seorang Jurutera yang dilaporkan hilang sejak 18 Mei lalu ditemukan meninggal dunia dalam keretanya di Taman Sentosa di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat Muhammad Hamizan, 33, ditemukan dalam kereta miliknya yang diparkir di hadapan sebuah premis perniagaan, pada jam 11 pagi.

Katanya mayat mangsa yang dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia ditemui sudah mereput di tempat duduk pemandu.

“Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang telah menjumpai seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta. Mangsa adalah orang yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Dianggarkan mangsa sudah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari dan mayat ditemukan sudah mula membusuk.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah. Kereta diletakkan di hadapan deretan premis kedai dan kejadian ini tidak membabitkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, punca kematian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Sebelum ini keluarga ada membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa pada 19 Mei lalu di Kota Tinggi,” katanya.

Terdahulu, pada 29 Mei lalu, abang mangsa, Muhammad Haziq Ramli, 34, merayu bantuan orang ramai agar memaklumkan kepada balai polis sekiranya mempunyai maklumat berikutan kehilangan adiknya itu selepas 10 hari.

Muhammad Haziq berkata, adiknya yang bekerja sebagai jurutera tapak di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang, kali terakhir dilihat oleh rakan kerja pada petang 18 Mei lalu, dan gagal dihubungi sehingga kini.

Difahamkan adiknya itu tidak pergi bekerja dari 19 hingga 22 Mei, dan hilang bersama kenderaan miliknya iaitu Proton Saga FLX warna merah.

BH ONLINE