Diserang adik kandung dengan parang, peniaga putus urat jari

ALOR GAJAH — Peniaga putus urat jari kiri selepas terkena parang dilibas adik kandungnya dalam kejadian amuk di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, dekat sini.

Dalam kejadian 8.47 malam kelmarin, mangsa berusia 33 tahun pada mulanya diserang dan dipukul dengan kayu oleh adik lelaki yang juga penganggur.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 27 tahun itu turut memecahkan bahagian depan motosikal pengadu.

Bimbang tindakan agresif itu, beliau berkata, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan bantuan bagi menahan adik lelakinya.

“Empat anggota polis bersama pengadu kemudian pergi semula ke lokasi dan operasi turut dibantu empat anggota RELA.

“Mangsa kemudian masuk ke dalam rumah dan dia diserang dengan menggunakan parang oleh suspek hingga cedera pada tangan dan jari kiri.

“Suspek yang agresif bagaimanapun berjaya ditahan oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, mangsa yang parah di bahagian tangan kiri dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

“Mangsa dilaporkan mengalami putus urat jari sehingga menyebabkan tiga jari kirinya tidak dapat digerakkan.

“Keadaannya stabil namun masih berada dalam pemantauan doktor dan ditempatkan di wad Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif suspek mengamuk dan mencederakan abang kandungnya,” katanya.

BH ONLINE