Doktor lelaki ditahan disyaki amang seksual pesakit bawah umur

PARIT — Seorang doktor lelaki ditahan di Hospital Changkat Melintang, di sini, Rabu lalu kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap pesakit perempuan bawah umur.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, mangsa yang berusia 15 tahun mendakwa doktor terbabit mengganggunya secara seksual semasa menerima rawatan di wad kecemasan hospital itu pada Isnin lalu.

Beliau berkata, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga seterusnya bertindak membuat laporan polis pada jam 9.14 malam Selasa lalu.

“Susulan itu, sepasukan pegawai polis menahan doktor lelaki berusia 29 tahun itu di hospital terbabit jam 2 petang, kelmarin.

“Suspek direman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan.

“Mangsa dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut memohon orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294.

BH ONLINE