Tuduhan rogol Mondy Tatoo: Pendakwaan tidak terus kes – Peguam bela Ebit Lew

KUALA LUMPUR — Pihak pembelaan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew mendakwa pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pertuduhan kes membabitkan pendakwah terkenal berkenaan yang dikatakan merogol wanita warga Indonesia, Mondy Tattoo.

Peguam bela Ebit Lew, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata polis selesai menyiasat kes itu dan keputusan pendakwaan supaya tidak meneruskan kes.

“Laporan polis berkaitan kes rogol dibuat Mondy pada 14 September 2023 dan polis selesai menyiasatnya baru-baru ini.

“Ebit Lew tidak akan dituduh sebab tiada kes. Saya dimaklumkan oleh polis, barang kes seperti telefon bimbit dan kad sim pendakwah itu dipulangkan semalam.

“Dakwaan (merogol) amat serius tetapi tiada kes. Kes (saman) fitnah terhadap Mondy ditetapkan untuk penilaian ganti rugi pada 1 Julai ini dan Mahkamah Sesyen Shah Alam akan memutuskan kuantumnya,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Pada 11 Oktober tahun lalu, media melaporkan kertas siasatan berhubung dakwaan kes rogol dan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal terbabit diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik berkata kedua-dua kertas siasatan itu dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut.

Pada 22 September tahun sama, Ebit Lew dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap pempengaruh media sosial, Caprice dan Mondy.

Sebelum ini, Mondy membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh pendakwah terbabit.

Ebit Lew juga membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya serta satu lagi laporan penafian kes gangguan seksual.

Susulan itu, polis merakam percakapan Caprice yang juga penyanyi rap dan Mondy berhubung laporan terbabit.

BH ONLINE