KANGAR — Tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar, direman lima hari sehingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun itu ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di beberapa lokasi sekitar Kangar semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret, Ana Rozana Mohd Nor, selepas ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini
Sumber SPRM berkata, suspek utama yang bertugas sebagai penjawat awam berusia 45 tahun itu ditahan di pejabatnya di JAIPs sekitar jam 4.10 petang.
Dua lagi suspek ditahan di Pejabat SPRM Perlis di Kangar di antara jam 6 hingga 6.15 petang selepas dipanggil memberi keteranagan.
“Suspek utama ini dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek iaitu imam dan anak kepada imam berkenaan yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.
“Siasatan awal kita pada waktu ini mendapati bagi setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini, akan berhubung dengan syarikat yang menguruskan pernikahan ini yang dimiliki oleh suspek ketiga yang juga anak imam berkenaan.
“Syarikat yang beroperasi di Kangar ini kemudian akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu semula bayaran wang sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar sini hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada suspek utama yang bertugas di JAIPs itu sebagai tindakan wang denda pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.
“Baki daripada jumlah itu tadi pula akan dibahagi-bahagikan antara ketiga-tiga suspek, membabitkan akaun peribadi milik penjawat awam dan imam masjid serta akaun syarikat milik suspek ketiga.
“Kesemua suspek disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.
“Siasatan juga mendapati terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan, selain tidak melalui Mahkamah Syariah,” katanya.
Sumber itu berkata, pihaknya percaya bahawa suspek utama mengaut keuntungan lebih RM1 juta dalam akaun peribadinya hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun tahun lalu.
“Malah, siasatan awal kita juga percaya bahawa imam itu dan anaknya mengaut keuntungan melebihi suspek utama.
“Siasatan bagaimanapun masih terus dijalankan untuk kes ini mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.
Terdahulu suspek yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan tiba di mahkamah sekitar jam 8.30 pagi diiringi anggota SPRM yang bertugas.
Muhammad Anwar dan Zuhair dalam hujahan mereka membantah permohonan awal penyiasat SPRM yang meminta reman terhadap suspek dikenakan selama tujuh hari atas alasan tiada sebab untuk mereka menahan anak guam mereka agak lama.
Mahkamah kemudian membenarkan reman terhadap suspek dikenakan selama lima hari bermula hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek.
BH ONLINE