SPRM tahan pegawai kanan PBT disyaki rasuah RM20,000

SHAH ALAM — Seorang pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM20,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk melulus dan mempercepatkan permohonan kontraktor tanpa melalui prosedur ditetapkan antara 2019 hingga tahun ini.

Dia ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 6.29 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

BH ONLINE