KAJANG — Mahkamah Majistret hari ini mengenakan denda RM100 terhadap seorang pekerja sambilan sewaan kereta selepas mengaku bersalah meletak pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera, bulan lalu.
Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz, turut memerintahkan Tariq Hazim Mohd Yusri, 25, menjalani hukuman penjara sehari jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa meletakkan pelekat bendera Israel di restoran makanan segera iaitu tempat seorang wanita bekerja yang mana keamanan mungkin terganggu di Batu 10, Jalan Hulu Langat, jam 4.42 petang pada 29 Mei lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pekerja restoran itu menyedari ada beberapa pelekat bendera negara terbabit dilekatkan di lantai berdekatan premis berkenaan.
Wanita itu kemudian memaklumkan perkara itu kepada pengurusnya dan hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh melakukan kesalahan berkenaan sebelum beredar dengan menaiki kereta.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Nurul Hafzan bertanya kepada tertuduh apa yang mencetuskan tindakan itu sebelum Tariq Hazim menegaskan kemarahan akibat ada keluarga meninggal dunia di Palestin.
“Kamu (tertuduh) kena fikir kesan perbuatan sebab kalau kamu buat begitu (lekat bendera Israel di restoran makanan segera), ia tidak akan menjadikan keadaan lebih baik,” kata Nurul Hafzan.
Ketika rayuan meringankan hukuman, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, Nabilla Rosli, memohon anak guam dikenakan denda minimum kerana hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.
“Tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan ibu mentua yang juga ibu tunggal, manakala ibu bapanya masing-masing ada penyakit gout dan jantung.
“Tertuduh menyesal atas kesilapan dan memohon maaf kepada semua pihak,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, pula memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
BH ONLINE