AMPANG — Seorang kerani di pusat khidmat rakyat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuan berusia 17 tahun, minggu lalu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 34 tahun berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai bapa tiri melakukan persetubuhan terbabit, yang mana hubungan tertuduh dan mangsa tidak membenarkan perkahwinan di bawah undang-undang atau hukum agama.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah flat di sini, jam 10.30 pagi dan 8.30 pagi masing-masing pada 20 serta 21 Mei lalu, mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhasimah Hashim, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
“Syarat tambahan tertuduh dan mangsa tinggal di tempat berlainan, selain lelaki itu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis terdekat,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Wan Afifah Che Bakar, memohon jaminan RM5,000 mengikut kemampuan anak guam yang perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia tiga, enam serta tujuh tahun.
“Saya difahamkan mangsa sudah dihantar ke rumah ibu saudaranya di Subang atas saranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tertuduh dan mangsa tidak lagi tinggal bersama,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan jumlah jaminan dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.
BH ONLINE