PUTRAJAYA — Jenazah bekas jurugambar New Straits Time Press (NSTP), Ahmad Irham Mohd Noor, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu selamat dikebumikan pada jam 12 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20 di sini, hari ini.
Kira-kira 200 orang hadir pada majlis pengebumian termasuk keluarga, jiran, bekas rakan sekerja serta kenalan.
Turut hadir, Pengarang Kumpulan The New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim dan Pengarang Eksekutif NST, Sharanjit Singh.
Sebelum itu, proses mandi jenazah dan kafan diadakan bermula jam 8.30 pagi di Hospital Putrajaya.
Selepas selesai jenazah dibawa ke surau Tanah Perkuburan Islam Presint 20 dan tiba pada jam 11 pagi untuk disolatkan dipimpin oleh Pembantu Hal Ehwal Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga imam Surau An Nur Presint 11, Mohd Asri Him.
Ketibaan jenazah diiringi isteri Allahyarham, Azlimi Ayub@Abdullah ,43, bersama dua anak, Aiman Irfan, 18, dan Adam Irsyad,14,
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 pagi hari ini selepas dilaporkan tenat sejak malam semalam.
Khamis lalu, Allahyarham dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital (ICU) Putrajaya oleh ahli keluarganya selepas keadaan kesihatannya dilaporkan agak membimbangkan.
Selepas menerima rawatan, pihak hospital memaklumkan Allahyarham mendapat jangkitan kuman dalam darah dan pada Ahad lalu arwah menjalani pembedahan pemotongan kedua belah kaki.
Allahyarham sebelum ini bertugas di biro NSTP Putrajaya menyertai Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada Mac 2020 selepas pihak syarikat mengecilkan saiz pekerja.
Allahyarham kemudian menceburi bidang usahawan tani penanaman cili dan timun di Dengkil, Selangor.
Sementara itu, bekas wartawan NSTP, Fairuz Mohd Shahar, 38, berkata, pemergian arwah sangat mengejutkan kerana beliau sangat ramah dan sentiasa ringan tulang membantu kawan.
Katanya, kali terakhir bertemu arwah adalah pada jamuan Aidilfitri di kediamannya di Presint 17 pada Mei lalu dan beliau ada memaklumkan tidak lagi mahu mengerjakan kebun pada Jun ini kerana sudah letih dan ingin berehat.
“Saya tidak menyangka kata-kata arwah itu memberi gambaran yang beliau ingin pergi meninggalkan kami buat selama-lama dan pemergiannya sangat dirasai kerana arwah sering mengambil berat rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu bekas wartawan Harian Metro, Mohd Husni Mohd Noor, 40-an, bersyukur hajat ahli keluarga arwah untuk mengebumikan jasad dan kedua belah kaki arwah yang dipotong Ahad lalu dapat dilaksanakan.
“Sangat sedih. Biarpun jasadnya tidak sempurna tapi kedua kakinya itulah yang menggerakkan segala budi, jasa baik dan pertolongan kepada rakan-rakan semua selama ini, “katanya.
BH ONLINE