Category: Malaysia

  • Selisih faham, lelaki maut dipukul rakan sekampung

    KOTA BELUD — Akibat perselisihan faham, lelaki maut dipukul oleh rakan sekampung dalam pergaduhan di tepi jalan berhadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gaur Podos di sini, semalam.

    Pergaduhan itu disedari oleh orang awam sebelum mereka menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, jam 2.13 pagi.

    Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun terbaring di satu lokasi di kampung berkenaan, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 3.30 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada 9.55 malam hari sama, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Belud berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

    “Siasatan mendapati, selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan bersembunyi di kebun Kampung Gaur. Operasi mengesan suspek kemudian dijalankan di kawasan berkenaan.

    “Suspek akhirnya berjaya diberkas di rumah keluarganya ketika mendapatkan bekalan makanan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Shahrudin berkata, mangsa dan suspek tinggal sekampung dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham.

    “Suspek kemudian dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

    BH ONLINE

  • Suami isteri tampal bendera Israel di restoran makanan segera direman

    SEPANG — Sepasang suami isteri ditahan reman sehari hari ini bagi membantu siasatan kes menampal pelekat bendera Israel di sebuah premis restoran makanan segera di Kajang awal pagi semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasangan berusia 20-an itu ditahan di Kajang semalam ketika melakukan tindakan itu.

    Menurutnya, kedua-dua suspek turut dikesan positif dadah yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Katanya, bagi kesalahan menampal pelekat, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pasangan suami isteri ini juga akan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya atas perbuatan khianat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang (KLIA) di sini hari ini.

    Hussein berkata, sejak Selasa lalu polis mengesan tujuh kes khianat menampal pelekat bendera Israel dan menconteng premis makanan segera dengan perkataan jelik.

    Menurutnya, empat kes dikesan di Sungai Buloh, dua kes di Petaling Jaya dan satu di Kajang.

    Katanya, polis mengesyaki perbuatan di Petaling Jaya dan Sungai Buloh dilakukan suspek sama berdasarkan bentuk tulisan yang sama.

    “Polis akan menyiasat sama ada pasangan suami isteri ini terlibat dalam kes yang berlaku di Petaling Jaya dan Sungai Buloh, “katanya.

    Dalam pada itu Hussein memberi amaran kepada orang awam supaya tidak terlalu fanatik dalam isu membabitkan perang antara Palestin dan Israel sehingga membelakangkan undang-undang dan menganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara.

    Katanya,mana-mana pihak yang melakukankesalahan boleh berdepan tindakan undang-undang.

    BH ONLINE

  • 3 cedera papan iklan di Lebuhraya Persekutuan terbakar

    PETALING JAYA — Tiga pekerja cedera selepas papan iklan yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan di sini terbakar, tengah hari tadi.

    Ketika kejadian pekerja terbabit dilaporkan sedang melakukan kerja penyelenggaraan di bahagian atas dan bawah papan iklan terbabit.

    Difahamkan tiga daripada sembilan pekerja di tempat kejadian cedera akibat terkena api dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tidak jauh dari lokasi kebakaran.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Solehuddin Zolkifly, mengesahkan kejadian kebakaran berlaku jam 1.20 tengah hari.

    “Polis yang menerima maklumat kemudian mengerahkan anggota ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan selain memaklumkan Bomba.

    “Pada masa ini kami tidak dapat mengesahkan jumlah mereka yang cedera dan yang terselamat selain sedang menunggu butiran lain daripada Bomba,” katanya.

    Kebakaran itu menyebabkan asap hitam tebal berkepul-kepul dapat dilihat dari kawasan sekitar.

    Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

    BH ONLINE

  • Pekebun warga Indonesia maut, rakan cedera dalam pergaduhan

    KUANTAN — Seorang pekerja kebun warga Indonesia maut manakala rakannya cedera dalam pergaduhan membabitkan tiga individu di tepi jalan kawasan Tringkap, Cameron Highlands, malam tadi.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 50-an manakala rakannya yang cedera berusia 30-an.

    Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca apabila dua mangsa dan seorang suspek yang juga warga Indonesia bertengkar di tepi jalan tetapi motif kejadian masih lagi dalam siasatan.

    “Akibat pergaduhan itu, seorang lelaki maut manakala rakan mangsa pula cedera. Berikutan itu, polis sedang mengesan suspek yang berumur 30-an,” katanya ketika ditemui media selepas mengunjungi rumah keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, di sini hari ini.

    Yahaya berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Oleh itu, kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pemandu trak tunda maut kereta dipandu bertembung treler

    KUALA NERUS — Seorang pemandu trak tunda maut dalam kemalangan membabitkan Proton Satria dan treler di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Kampung Sentosa, di sini, awal pagi hari ini.

    Kejadian jam 1.35 pagi itu menyebabkan Muhammad Aliudin Khuzaimi Mohd Saidi, 21, tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku ketika kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu, manakala treler dipandu Wan Mohd Amirul, 28, dari arah bertentangan.

    Beliau berkata, sebaik tiba di laluan berselekoh di lokasi kejadian, treler yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di FELDA Belara yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

    “Akibat pertembungan itu, kenderaan mangsa remuk manakala treler terbalik selepas melanggar penghadang kiri jalan.

    “Mangsa yang tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler dari Jerteh, Besut mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan kecemasan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pelajar didakwa cabul, cederakan kenalan wanita baru sehari dikenali

    MELAKA — Seorang pelajar institut kemahiran didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan dan mencederakan kenalan wanita yang baru sehari dikenali, bulan lalu.

    Tertuduh, Muhammad Akmal Nordin,24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus dibacakan kedua-dua pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 16 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang perempuan berusia 21 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika berada di dalam kereta di kawasan Jalan Ayer Keroh Lama, dekat sini, pada 15 April lalu, antara jam 10 malam hingga 12.30 tengah malam.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh, masa dan ditempat sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM1,000 atau keduanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Roslan menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

    Tertuduh, merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia masih belajar dan akan dijamin oleh bapanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan RM4,500 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.

    BH ONLINE

  • Polis wanita bergaduh: Siasatan babit aspek tatatertib

    KUALA LUMPUR — Polis akan menjalankan siasatan dari sudut tatatertib dalam kejadian pergaduhan membabitkan dua anggota di Balai Polis Brickfields, di sini, 25 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata kes itu bersifat peribadi antara dua anggota polis wanita berkenaan.

    “Kejadian itu tidak membabitkan orang awam serta tiada penggunaan apa-apa bentuk senjata berbahaya.

    “Siasatan akan dijalankan dari sudut tatatertib (dalam kes berkenaan),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu, laporan polis berhubung kejadian itu tular di media sosial dengan seorang wanita berpangkat Lans Koperal dikatakan cedera di kepala.

    Menurut laporan polis yang tular berkenaan, seorang anggota polis wanita berpangkat Koperal yang terbabit dalam kejadian itu sudah diambil keterangan.

    BH ONLINE

  • Wanita terkena renjatan elektrik dalam kebakaran

    KOTA BHARU — Seorang wanita terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Lundang, di sini awal pagi tadi.

    Mangsa berusia 36 tahun dihantar Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Ramli Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 pagi dan jentera tiba di lokasi lima minit kemudian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal yang musnah 100 peratus, manakala dua rumah jenis kekal musnah 70 peratus.

    “Dalam kejadian itu, turut menyebabkan dua kereta iaitu Proton Preve dan Proton Persona serta sebuah motosikal Yamaha Y15 musnah 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.45 pagi.

    “Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Lima cedera bas rempuh treler di Lebuhraya PLUS

    IPOH — Lima individu termasuk dua wanita mengalami kecederaan apabila sebuah bas ekspres yang dinaki mereka, merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 290 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dan Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas tersepit dan empat orang penumpang cedera. Bas yang membawa 26 penumpang itu dipercayai dalam perjalanan menghala ke selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sabarodzi berkata pihaknya telah mengeluarkan mangsa yang tersepit serta memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera, sebelum mereka dihantar ke hospital yang berhampiran untuk menerima rawatan selanjutnya.

    Beliau berkata mangsa yang tidak cedera dihantar ke destinasi yang dituju menggunakan bas ekspres lain dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.45 pagi.

    BH ONLINE memetik BERNAMA

  • Pencipta kandungan ditahan, tunjuk kemaluan ketika panggilan video

    KUALA LUMPUR — Polis menahan seorang lelaki yang juga pencipta kandungan kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita melalui panggilan video.

    Lelaki berusia 27 tahun yang juga peniaga dalam talian itu ditahan petang semalam, turut dilaporkan berbual lucah dengan wanita sama.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner, Mohamad Lazim Ismail, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 17 Mei lalu.

    “Pengadu berusia 24 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan video tersebut daripada suspek yang dikenalinya ketika berada di rumahnya di Taman Melewar, di sini.

    “Suspek telah menunjukkan alat sulitnya dan bercakap lucah dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Lazim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang telah berkenalan dengan suspek sejak awal bulan Mei melalui aplikasi Instagram selain pernah bertemu.

    “Suspek ditahan polis petang semalam untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, suspek telah diberikan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu menggunakan media sosial agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali.

    “Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berdekatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Warga India tak mengaku tunjuk kemaluan kepada remaja perempuan

    AMPANG — Seorang buruh binaan warga India didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menunjukkan kemaluan kepada remaja perempuan berusia 14 tahun dalam lif, dua minggu lalu.

    Sewa Singh, 26, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Mengikut pertuduhan, Sewa didakwa menghina kesopanan dengan menunjukkan kemaluan kepada remaja itu di lif tingkat satu sebuah pangsapuri di sini, jam 12 tengah hari pada 16 Mei lalu, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim, mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

    “Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis, serahan pasport dan tidak ganggu mangsa kes terbabit,” katanya.

    Bagaimanapun, peguam bela Sewa, Tarlochan Singh, memohon jaminan serendah RM2,500 kepada anak guam.

    “Tertuduh bekerja secara sah dan sudah tinggal di Malaysia selama empat tahun, selain majikannya akan menjadi penjamin untuk memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah,” katanya.

    Hakim kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September ini.

    BH ONLINE

  • Pekerja kedai makan ugut bakar rumah pelajar jika tolak seks oral

    MUAR — Seorang pekerja kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan amang seksual fizikal, termasuk memaksa pelajar tingkatan tiga melakukan oral seks di dua lokasi berasingan di Batu Pahat, tahun lalu.

    Tertuduh, Lim Min Teck, 24, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan kepala berbalut akibat terjatuh tangga, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Irwan Suainbon.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun ketika itu, di sebuah taman permainan dekat Taman Sri Saga, Batu Pahat, pada 11.30 pagi, pertengahan Oktober tahun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

    Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu dengan memaksa mangsa melakukan oral seks di sebuah kilang terbiar di Batu Pahat, jam 1.30 tengah hari, hujung Oktober tahun lalu.

    Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) akta sama dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Berdasarkan laporan dibuat mangsa, tertuduh mengenalinya melalui aplikasi MiChat sebelum mereka bertemu.

    Mangsa dipaksa melakukan perbuatan itu oleh tertuduh kerana turut diugut rumahnya akan dibakar jika gagal memenuhi permintaan.

    Perbuatan tertuduh terbongkar apabila abang mangsa terbaca mesej ugutan dihantar tertuduh sebelum membuat laporan polis, 26 Mei lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan tiga sebab iaitu kesalahan dilakukan serius dan tidak boleh dijamin.

    “Selain itu, perbuatan ini membabitkan seorang kanak-kanak serta wujud elemen keganasan dan ugutan terhadap mangsa,” hujahnya.

    Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Jun ini untuk pendakwa menyediakan fakta kes serta hukuman bakal dikenakan terhadapnya.

    BH ONLINE

  • Kerani tak mengaku bersetubuh dengan anak tiri 17 tahun

    AMPANG — Seorang kerani di pusat khidmat rakyat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuan berusia 17 tahun, minggu lalu.

    Bagaimanapun, lelaki berusia 34 tahun berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai bapa tiri melakukan persetubuhan terbabit, yang mana hubungan tertuduh dan mangsa tidak membenarkan perkahwinan di bawah undang-undang atau hukum agama.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah flat di sini, jam 10.30 pagi dan 8.30 pagi masing-masing pada 20 serta 21 Mei lalu, mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhasimah Hashim, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

    “Syarat tambahan tertuduh dan mangsa tinggal di tempat berlainan, selain lelaki itu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis terdekat,” katanya.

    Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Wan Afifah Che Bakar, memohon jaminan RM5,000 mengikut kemampuan anak guam yang perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia tiga, enam serta tujuh tahun.

    “Saya difahamkan mangsa sudah dihantar ke rumah ibu saudaranya di Subang atas saranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tertuduh dan mangsa tidak lagi tinggal bersama,” katanya.

    Hakim kemudian membenarkan jumlah jaminan dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Warga emas rentung dalam kebakaran kereta

    IPOH — Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Laluan Sri Kuang 3, Desa Lasi, malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 11.46 malam sebelum jentera bomba bersama lapan anggota tiba di lokasi 10 minit kemudian.

    Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara.

    “Terdapat seorang mangsa rentung dalam kenderaan tersebut. Operasi pemadaman tamat pada 2 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    BH ONLINE memetik BERNAMA

  • Lelaki rentung dalam Myvi terbakar akibat kemalangan

    KULAI — Seorang lelaki rentung dalam kebakaran kereta selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 33.3, Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan di sini malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.24 malam. Anggota Bomba tiba di lokasi kejadian 11.53 malam.

    Katanya, seorang pemandu terperangkap dalam Myvi yang terbakar susulan kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu lori treler membawa muatan tanah dan sebuah Proton Iswara.

    “Mangsa lain berkata dikeluarkan orang awam sebelum anggota Bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Mangsa yang rentung dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Identiti lelaki yang rentung belum dikenal pasti manakala seorang penumpang perempuan dewasa berusia 32 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia setahun menaiki Perodua Myvi berkenaan cedera.

    Dua lelaki dewasa berusia 18 dan 22 tahun yang menaiki Proton Iswara cedera manakala seorang lelaki berusia 33 tahun iaitu pemandu treler tidak cedera.

    BH ONLINE

  • Bekas pengacara Majalah 3 meninggal dunia

    KUALA LUMPUR — Bekas pengacara rancangan dokumentari Majalah 3, Abdullah Sidek Majin, 58, meninggal dunia jam 11 malam tadi di Hospital Slim River, Perak.

    Berita sedih itu dikongsikan oleh anak sulungnya, Luqman Sidek, 28.

    “Saya dapat berita ayah saya jatuh terlentang di rumah nenek saya di Kampung Lubuk Salak, Tanjung Malim, pada jam 6 petang.

    “Selepas itu ayah saya dibawa ke Hospital Slim River, ayah sebelum ini menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat.

    “Selepas pegawai perubatan membuat pemeriksaan, arwah disahkan sudah tidak bernafas lagi pada jam 11 malam,” katanya ketika ditemui BH Online di Hospital Slim River.

    Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cabang Lima, Tanjung Malim jam 10.30 pagi ini.

    Untuk info, Abdullah Sidek sudah tiga bulan menderita penyakit kanser limfoma selain sudah tidak aktif di televisyen sejak lapan tahun lalu.

    Beliau meninggalkan seorang isteri, Khairana Sabtu dan lima anak.

    BH ONLINE

  • Kanak-kanak maut dilanggar kenderaan dipandu bapa

    BESUT — Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas dilanggar kenderaan dipandu bapanya di kawasan rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja, di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Gong Medang, pada jam 10.30 pagi.

    Katanya, siasatan awal dijalankan dan mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh kenderaan di halaman rumah.

    “Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu sebelum ini sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah tiba-tiba bergerak menuju ke arah kenderaan dipandu bapa menyebabkan pemandu itu terlanggar anaknya.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Rozak berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • "Adakah Ramasamy hendak jadi 'malaikat' dalam isu Hannah Yeoh" – Teo Nie Ching

    KUALA LUMPUR — Desakan bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, P Ramasamy, supaya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meletak jawatan berhubung isu pemberian kontrak Kerajaan Selangor kepada suaminya, adalah bersifat tidak adil.

    Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, berkata tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang selama 15 tahun di bawah kerajaan negeri DAP itu jelas menunjukkan sikap berpura-puranya selepas keluar daripada parti.

    Beliau mempersoalkan tindakan Ramasamy yang tidak melakukan gesaan sama ketika bekas Setiausaha Agung yang kini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah.

    Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, berkata demikian bagi menjawab gesaan Ramasamy supaya Hannah meletak jawatan atas dakwaan kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor diberikan kepada syarikat suaminya secara rundingan terus.

    “Sekiranya siasatan yang dijalankan membuktikan bahawa ada salah guna kuasa, saya percaya bahawa beliau (Hannah) akan tertakluk kepada tahap penyiasatan yang sama.

    “… saya rasa beliau akan bekerjasama dengan sebarang bentuk siasatan tetapi soalan sama ada beliau wajar untuk letak jawatan, saya fikir ia terlalu awal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    “Adakah Ramasamy ketika itu meminta Lim Guan Eng (LGE) meletak jawatan dan kenapa dia tukar pendirian sekarang?

    “Adakah kerana LGE ketika itu Setiausaha Agung dan Ramasamy tidak mahu serang dia atau pun masa itu (Ramasamy) dalam DAP tidak boleh serang dan kini apabila sudah keluar DAP, dia hendak jadi malaikat?” katanya.

    Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan ia sudah melakukan siasatan interim berhubung isu pemberian kontrak tersebut namun tidak menemukan sebarang kesalahan dan tiada kes dalam isu tersebut.

    Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, yang merupakan syarikat milik suami Hannah, ialah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.

    Sementara itu dalam sidang media sama, Teo melancarkan program HERLEAD oleh Wanita DAP iaitu program pendidikan politik yang direka bagi memperkasa dan melengkapkan wanita parti itu dengan kemahiran serta pengetahuan diperlukan untuk menjadi pemimpin politik berpengaruh.

    “(Kebanyakan) parti politik memberikan alasan adalah tidak mempunyai calon (wanita) yang mencukupi, program HERLEAD ini adalah direka untuk mengatasi masalah ini.

    “Program pertama HERLEAD bakal berlangsung pada 22 dan 23 Jun di Kuala Lumpur dan mereka yang berminat boleh mendaftar bermula hari ini di pautan https://forms.gle/xqFxKyCW5ZbMdER77,” katanya.

    BH ONLINE memetik BERNAMA

  • Banjir : 558 penduduk Long Bemang terjejas

    KUCHING — Banjir termenung yang melanda Kampung Long Bemang di Hulu Baram akibat limpahan air Sungai Baram sejak Isnin lalu, berlarutan hingga hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata berdasarkan laporan Persatuan Bomba Sukarela (PBS Long Bemang, sehingga jam 8 pagi tadi, rumah penduduk masih dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

    Menurutnya, sehingga kini tiada penduduk ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana semua kediaman penduduk adalah rumah panjang dua tingkat.

    “Kampung Long Bemang memang berisiko dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Baram jika berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai itu.

    “Berikutan itu, penduduk membina rumah panjang dua tingkat bagi memudahkan mereka menyelamatkan barang serta nyawa setiap kali banjir melanda,” katanya.

    Menurutnya lagi, berdasarkan laporan PBS, hujan dikhuatiri berlaku lagi berikutan keadaan cuaca mendung pagi ini.

    Kampung Long Bemang mempunyai sebanyak 103 unit kediaman dengan penduduk seramai 558 orang.

    BH ONLINE

  • Lelaki tidur dalam buaian di pondok rehat, maut dipanah petir

    SUNGAI PETANI — Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dipanah petir ketika tidur dalam buaian di pondok rehat hadapan rumahnya di Kampung Pulau Tiga, Sungai Layar, di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata pihaknya menerima maklumat daripada isteri mangsa kira-kira jam 10 malam berhubung kejadian menimpa Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, yang bekerja sebagai pemandu kren.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku jam 9.45 malam ketika hujan lebat berserta petir dan mangsa dikatakan tidur berseorangan di pondok rehat berkenaan.

    Berdasarkan laporan, beliau berkata, terdahulu isteri mangsa berusia 31 tahun bersama abang dan rakan suaminya dikatakan menyangka Mohammad Shahrim sedang tidur, justeru tidak mengejutkan lelaki itu.

    “Namun kira-kira jam 10 malam, isteri dan rakan suami cuba mengejutkan mangsa di bawah buaian tetapi mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri, sebelum terus membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    “Bagaimanapun, doktor mengesahkan lelaki itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari rumah ke HSAH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, sambil memaklumkan mangsa mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.

    Wan Azharuddin berkata, isteri arwah memaklumkan bahawa suaminya berada dalam keadaan sihat sebelum itu, dan hasil siasatan awal juga mendapati mangsa tiada sebarang rekod penyakit kronik.

    Selain itu, beliau berkata, pegawai penyiasat yang melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tiada unsur jenayah berlaku.

    “Hasil siasatan di tempat kejadian juga menemui kesan terbakar pada kayu menggantung buaian, dan wayar elektrik telah putus.

    “Hasil bedah siasat turut mendapati ada kesan terbakar pada si mati yang berpunca daripada panahan petir,” katanya.

    BH ONLINE