KUALA NERUS — Seorang pemandu trak tunda maut dalam kemalangan membabitkan Proton Satria dan treler di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Kampung Sentosa, di sini, awal pagi hari ini.
Kejadian jam 1.35 pagi itu menyebabkan Muhammad Aliudin Khuzaimi Mohd Saidi, 21, tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku ketika kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu, manakala treler dipandu Wan Mohd Amirul, 28, dari arah bertentangan.
Beliau berkata, sebaik tiba di laluan berselekoh di lokasi kejadian, treler yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di FELDA Belara yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
“Akibat pertembungan itu, kenderaan mangsa remuk manakala treler terbalik selepas melanggar penghadang kiri jalan.
“Mangsa yang tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler dari Jerteh, Besut mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan kecemasan,” katanya.
BH ONLINE