Banjir : 558 penduduk Long Bemang terjejas

KUCHING — Banjir termenung yang melanda Kampung Long Bemang di Hulu Baram akibat limpahan air Sungai Baram sejak Isnin lalu, berlarutan hingga hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata berdasarkan laporan Persatuan Bomba Sukarela (PBS Long Bemang, sehingga jam 8 pagi tadi, rumah penduduk masih dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

Menurutnya, sehingga kini tiada penduduk ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana semua kediaman penduduk adalah rumah panjang dua tingkat.

“Kampung Long Bemang memang berisiko dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Baram jika berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai itu.

“Berikutan itu, penduduk membina rumah panjang dua tingkat bagi memudahkan mereka menyelamatkan barang serta nyawa setiap kali banjir melanda,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan laporan PBS, hujan dikhuatiri berlaku lagi berikutan keadaan cuaca mendung pagi ini.

Kampung Long Bemang mempunyai sebanyak 103 unit kediaman dengan penduduk seramai 558 orang.

BH ONLINE