Bapa disaman polis kerana anak umur 11 tahun pandu kereta

SIBU — Bapa kepada seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang dikesan memandu sebuah kereta secara bersendirian di bandar ini, sudah dikenakan tindakan saman oleh polis.

Ketua Polis Daerah Sibu. Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dibuat selepas kanak-kanak itu berjaya dikesan kira-kira 6.50 petang semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dan ibu bapanya dibawa ke Pejabat Trafik Polis Sibu untuk siasatan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta tersebut iaitu kanak-kanak lelaki berkenaan menghidap autisme dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis mendapat maklumat berhubung video berdurasi 30 saat yang tular di laman sosial kira-kira 3 petang semalam, menunjukkan kanak-kanak itu memandu kereta bersendirian di Jalan Kampung Nyabor di sini.

BH ONLINE memetik BERNAMA