KUALA LUMPUR — Pagi tadi, anak lelaki Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.
Muhammad Faisal, 40, yang juga ahli perniagaan dituduh menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat dekat Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, di sini pada Mac 2018. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Faisal mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 selepas memerintahkan dia menyerahkan pasport sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Ini kali kedua Faisal dihadapkan ke mahkamah selepas pada April tahun lalu, dia didakwa dan kemudian mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan kes seleweng minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban.
Malam ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU merangkap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, mengeluarkan satu kenyataan berhubung pendakwaan terhadap anak lelakinya itu.
Bekas Menteri Dalam Negeri yang juga pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mendakwa pendakwaan terbaharu itu sebagai siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada beliau sebagai ketua pembangkang.
“‘Tak dapat tanduk, telinga dipulas’,” katanya turut mendakwa tindakan itu selepas kerajaan melalui pelbagai agensi, gagal mencipta naratif, persepsi dan pertuduhan politik ke atas pemimpin BERSATU, termasuk beliau.
Ahli Parlimen Larut itu juga menyifatkan pendakwaan anaknya itu sebagai taktik lapuk yang didakwa usaha terdesak menutup mulut pengkritik dengan menyasarkan pemimpin PN dan ahli keluarga mereka.
“Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” katanya.
BH ONLINE