Bot nelayan karam: Mayat tekong dijumpai, 3 awak-awak masih hilang

BATU PAHAT — Seorang daripada empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot pukat tunda dinaiki bersama empat yang lain karam perairan Tanjung Segenting, dekat sini semalam, ditemukan meninggal dunia.

Mayat Chiah Kah Chong, 53, yang juga tekong bot, ditemui nelayan yang kebetulan melalui lokasi terbabit, jam 7 malam tadi.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus, berkata mayat dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

Penemuan mayat lelaki itu meninggalkan hanya tiga nelayan lain, iaitu Lee Poh Ling, 68; Tan Hai Lian, 62, dan Daud Darus @ Hamid, 53, masih hilang.

Seorang lagi mangsa Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Terdahulu, Maritim Malaysia menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di lokasi kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting.

Menurut maklumat awal, bot nelayan itu dinaiki lima kru berusia antara 43 hingga 62 tahun, semua rakyat tempatan yang keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Mereka dilaporkan ke laut pada jam 8 malam Khamis melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.

Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar dipercayai menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat diperluaskan kepada 65 batu nautika membabitkan pencarian di permukaan laut, manakala operasi di udara menggunakan helikopter, sudah melangkaui 73 batu nautika.

Hari ini, sebanyak enam aset laut dan dua pesawat digunakan daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

BH ONLINE