3 cedera papan iklan di Lebuhraya Persekutuan terbakar

PETALING JAYA — Tiga pekerja cedera selepas papan iklan yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan di sini terbakar, tengah hari tadi.

Ketika kejadian pekerja terbabit dilaporkan sedang melakukan kerja penyelenggaraan di bahagian atas dan bawah papan iklan terbabit.

Difahamkan tiga daripada sembilan pekerja di tempat kejadian cedera akibat terkena api dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tidak jauh dari lokasi kebakaran.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Solehuddin Zolkifly, mengesahkan kejadian kebakaran berlaku jam 1.20 tengah hari.

“Polis yang menerima maklumat kemudian mengerahkan anggota ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan selain memaklumkan Bomba.

“Pada masa ini kami tidak dapat mengesahkan jumlah mereka yang cedera dan yang terselamat selain sedang menunggu butiran lain daripada Bomba,” katanya.

Kebakaran itu menyebabkan asap hitam tebal berkepul-kepul dapat dilihat dari kawasan sekitar.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

BH ONLINE