Cuaca haji dijangka sangat panas tahun ini

MAKKAH — Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Saudi mengumumkan pada Selasa, cuaca musim haji tahun ini di tapak suci dijangka sangat panas dengan angin permukaan kencang pada siang hari, yang mungkin menyebabkan debu dan ribut pasir pada masa-masa tertentu, terutama di kawasan terbuka dan di lebuh raya.

Ayman bin Salem Ghulam, Ketua Pegawai Eksekutif NCM, memberitahu sidang akhbar di Makkah, suhu maksimum di tapak suci dijangka mencecah antara 45 C hingga 48 C pada tengah hari.

Ghulam berkata kemungkinan hujan adalah rendah tetapi awan petir boleh terbentuk di tanah tinggi bandar Taif, dan kemungkinan kesannya boleh meluas ke tapak suci.
Tahap kelembapan berpotensi juga boleh mencapai lebih 60 peratus.

Ghulam menegaskan pusat itu mempunyai rancangan eksekutif untuk memantau cuaca sepanjang masa di tapak suci, Madinah, lapangan terbang, pelabuhan, dan jalan utama.

Tambahnya, sebagai persediaan menghadapi musim haji tahun ini, pusat itu telah mengadakan mesyuarat penyelarasan, bengkel dan sesi latihan. Pertemuan terbaharu itu dipanggil “Kesan Iklim Haji tahun ini,” dengan lebih daripada 44 pihak berkaitan mengambil bahagian untuk membincangkan perkara itu.

Pusat itu juga telah menjalankan latihan untuk meningkatkan kesiapsiagaan, mengkaji fenomena cuaca buruk, mekanisme pelaporan ujian, dan memastikan maklumat sampai kepada pihak berkaitan semasa musim haji tahun ini.

Ia juga telah menggunakan radar mudah alih untuk memantau langit di atas tapak suci dan Masjidil Haram, serta stesen mudah alih untuk memantau lapisan atas atmosfera dan menyediakan imej satelit untuk potensi fenomena cuaca.

Ghulam berkata, NCM telah mewujudkan pusat pengeluaran media di Mina bagi menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji, termasuk mereka yang berkeperluan khas. Pusat itu akan menyiarkan buletin dan mesej cuaca harian di 12 saluran media bagi memastikan keselamatan jemaah di dalam tapak suci.

Ghulam menambah bahawa lokasi seperti Pusat Perubahan Iklim Serantau, Pusat Serantau Amaran Ribut Pasir dan Debu dan Program Pembenihan Awan Serantau akan terlibat dalam menyediakan maklumat yang berkaitan.

Abdulaziz Al-Harbi, penyelia umum hal ehwal haji, berkata haji tahun ini akan menyaksikan peningkatan suhu permukaan melebihi kebiasaan di Makkah dan Madinah. Dia menjangkakan hujan melebihi purata di tapak suci.

AN, 4 Jun 2024