Pemandu pikap maut dirempuh treler, bomba ambil masa 5 jam keluarkan mangsa

TUARAN – Seorang lelaki maut selepas pikap dipandunya dirempuh treler dan tersepit dalam kemalangan di Jalan Tamparuli – Ranau, Kampung Minangkob, Tamparuli di sini, pagi tadi.

Mangsa, Pius Pansang, 43, dari Kampung Kiau Taburi, Kota Belud cedera parah di kepala dan badan dan anggota bomba mengambil masa kira-kira lima jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.27 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa tersepit dalam pikap di bahagian hadapan dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima jam mengeluarkan mangsa dengan bantuan jentera ‘towing’,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

BH ONLINE

ad