SEREMBAN – Anggota tentera yang dipercayai menumbuk seorang wanita di Persiaran Senawang 4, dekat Taipan, di sini, malam kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, ketika dihubungi hari ini berkata siasatan kes berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Suspek yang terbabit dalam kejadian pada malam kelmarin sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas selesai diambil keterangan.
“Bukit Aman mengambil alih siasatan kes ini kerana suspek adalah penjawat awam,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tular satu klip memaparkan seorang pemandu kereta wanita ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu Perodua Axia ketika melintas jalan.
Mohamad Hatta berkata, siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berumur 28 tahun dalam perjalanan dari Mydin Senawang menghala ke Senawang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba pejalan kaki seorang wanita berumur 34 tahun dan anak perempuannya berumur tujuh tahun dikatakan melintas jalan dari arah sebelah kiri jalan ke sebelah kanan jalan.
“Akibat jarak yang sudah dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu dikatakan melanggar pejalan kaki itu,” katanya.
Beliau berkata pada masa sama pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan terhadap seorang lelaki berumur 35 tahun yang dikatakan menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu kereta itu.
“Wanita itu dikatakan mendapat kecederaan lebam di rusuk kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala selain kereta juga mengalami kerosakan,” katanya.
BH ONLINE