Pasukan SMART di Myanmar berdepan risiko keselamatan

KUALA LUMPUR – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dikerahkan ke Myanmar menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) kini berdepan cabaran keselamatan yang serius.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pergerakan pasukan SMART ke lokasi terjejas dikawal ketat oleh pasukan keselamatan tempatan.

“Pasukan SMART diiringi Polis Myanmar dan terpaksa melalui sekurang-kurangnya 10 pos pemeriksaan, mencerminkan tahap risiko keselamatan yang tinggi di kawasan ini.

“Cabaran keselamatan lain yang turut dihadapi adalah beberapa kawasan yang dilalui pasukan SMART masih bergolak dan dilaporkan terus menjadi sasaran serangan bom oleh tentera Myanmar,” katanya.

Periuk api di wilayah Sagaing

Selain itu, katanya penduduk tempatan turut memberi amaran mengenai kewujudan periuk api di sekitar wilayah Sagaing, terutamanya di kawasan kuil.

“Risiko ini meningkatkan tahap berhati-hati pasukan penyelamat dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya gegaran susulan berkekuatan antara 3.0 hingga 5.1 magnitud terus berlaku, menambahkan risiko terhadap struktur bangunan yang sudah pun rosak akibat gempa bumi utama.

“Keadaan itu meningkatkan kemungkinan runtuhan susulan yang boleh membahayakan anggota penyelamat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pasukan SMARTdipecahkan kepada dua kumpulan, Alpha 1 dan Alpha 2, bagi memastikan operasi SAR dapat dijalankan dengan lebih efektif di lapangan.

“Fokus penyelamatan kini memberi keutamaan kepada penyelamatan di rumah ibadat, sekolah dan hospital yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan.

“Setakat ini, dianggarkan masih terdapat sekurang-kurangnya 20 mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, operasi yang dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang waktu tempatan itu turut dikoordinasi bersama pihak berkuasa tempatan.

“Pada operasi MAS-01 hari ini, pasukan penyelamat mengaktifkan operasi SAR di Nyat Private School susulan laporan awal mengenai enam individu yang terperangkap di premis terbabit.

“Operasi sama turut dijalankan di Masjid Nyoo Ma selepas menerima maklumat bahawa terdapat mangsa yang terperangkap serta di Masjid Moe Gya apabila laporan awal menyatakan 10 individu terperangkap,” katanya.

Dalam usaha memastikan operasi berjalan lancar, katanya pasukan MAS-01 menghadapi cabaran logistik termasuk keperluan bekalan minyak petrol untuk kenderaan dan peralatan seperti generator elektrik.

“Bagaimanapun, pihak Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil)

membantu mengenal pasti stesen pam yang mampu membekalkan petrol kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, cuaca panas melampau antara 38 darjah celsius hingga 41 darjah celcius menyukarkan operasi SAR terutamanya pada waktu tengah hari.

“Selain itu, tempoh kritikal 72 jam sudah berlalu, menyebabkan kemungkinan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin menurun,” katanya.

“Di samping itu, kekurangan bekalan asas bagi mangsa yang terselamat turut meningkatkan faktor ancaman di kawasan terjejas,” katanya.

Menurut NADMA, menerusi maklumat diperoleh dari media tempatan negara itu, bencana ini sudah meragut sekurang-kurangnya 2,900 nyawa dengan lebih 3,400 individu mengalami kecederaan.

“Walaupun berdepan risiko keselamatan yang tinggi, pasukan penyelamat terus komited dalam usaha menyelamat dan membantu mangsa yang terkesan dengan bencana ini,” katanya.

Pusat operasi (BoO) pasukan MAS-01 kini berpusat di Sagaing, kira-kira 270 kilometer dari Naypyidaw.

BH ONLINE

ad