Warga emas maut dirempuh motosikal ditunggang budak lelaki 12 tahun

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan sama ditunggang budak lelaki berusia 12 tahun di Kampung Sri Aman, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata kemalangan di persimpangan Lorong Sentosa/Lorong Gembira, ketika mangsa berusia 65 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 9.45 pagi

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dilanggar di bahagian tepi sebelah kanan oleh motosikal ditunggang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

“Ketika kejadian, warga emas terbabit dikatakan keluar dari simpang Lorong Sentosa, manakala kanak-kanak berkenaan berada di jalan utama lorong terus,” katanya.

Balveer Singh berkata akibat kemalangan itu warga emas berkenaan parah di kepala dan disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala kanak-kanak berkenaan lebam di lutut kiri.

Katanya, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (apj) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ong Jin Siong di talian 011-16490168.

BH ONLINE