Nahas tiga maut, pemandu lori miliki empat saman lampau

BENTONG – Pemandu lori yang dipercayai mengakibatkan kemalangan mengorbankan tiga nyawa di KM 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini semalam, direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata suspek berusia 51 tahun itu direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis.

“Semakan polis mendapati suspek mempunyai empat rekod saman lampau berkaitan kesalahan jalan raya.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya mendapati lelaki itu tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap tiga mayat mangsa di Hospital Bentong mendapati punca kematian kesemua mangsa akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian 4.55 petang semalam, bomba menerima panggilan kemalangan lima kenderaan iaitu sebuah lori lima tan, kereta jenis Honda Accord, Proton Waja dan Proton Saga serta sebuah kenderaan jenis Subaru.

Zaiham berkata, siasatan awal mendapati lori dari arah Kuantan menghala Kuala Lumpur terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh empat kenderaan lain.

Akibatnya, tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan dikenali Wong Kean Yeap berusia 29 tahun; Wong Hwee Moon, 34; dan Lee Lai Cheng, 61; yang menaiki Honda Accord meninggal dunia di lokasi.

Tiga lagi penumpang kereta iaitu lelaki berusia 33 tahun dan dua kanak-kanak lima tahun serta tiga tahun, serta kelindan lori mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE

ad