KOTA TINGGI – Seorang wanita dan anak saudaranya lemas manakala empat terselamat selepas hanyut ketika mandi di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai di sini, petang semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Siti Fatimah Jaafar, 33, dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13.
Semua mangsa dilapor mempunyai pertalian persaudaraan.
Mereka yang selamat ialah Jaafar Yusof, 60; Nur Qaisara Farhana Mohd Farid, 13; Danial Abu, 10 dan Nur Alisya Shafiya Jamil, 10.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata Kaunter Aduan Balai Polis Bayu Damai menerima makluman mengenai kejadian lemas di pantai berkenaan kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Katanya, lima mangsa iaitu seorang wanita berusia 33 tahun, seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun serta tiga kanak-kanak perempuan berusia antara 10 hingga 13 tahun dilapor ke pantai untuk mandi sebelum dihanyutkan arus.
Menyedari situasi itu, katanya, seorang lelaki berusia 60 tahun cuba membantu namun naik semula ke pantai berikutan ombak kuat.
“Semua mangsa dibawa ke darat oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam, namun dua daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Katanya, mangsa mangsa dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) Ezam Mistorerrudin, berkata anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan BBP Bandar Penawar diarah ke lokasi bagi operasi menyelamat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 malam.
BH ONLINE