Ustazah maut nahas, orang awam sempat bisikkan kalimah syahadah

KLUANG — Seorang ustazah maut selepas Honda HRV dipandunya terbabas lalu bertembung lori dari arah bertentangan di kilometer (KM) 80, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata mangsa Fauziah Selamat, 46, maut akibat parah di badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam manakala lori jenis Hino dari arah bertentangan.

“Tiba di tempat kejadian, ustazah berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan di laluan lori dan bertembung.

“Akibat kemalangan, pemandu HRV meninggal dunia manakala pemandu lori berusia 36 tahun cedera,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Maznan Muhamad berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam dan Ayer Hitam bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.16 petang.

“Pemandu kereta tersepit di bahagian pemandu depan dan dikeluarkan oleh pihak bomba. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu tular di media sosial, gambar dan video termasuk saat Allahyarham dibisikkan dua kalimah syahadah oleh orang awam ketika tersepit di tempat duduknya.

Allahyarham adalah Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Agama Bandar Renggam dan menetap di Parit Raja Batu Pahat Allahyarham dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat mengajar.

BH ONLINE