TikTok pulih perkhidmatan di AS

LOS ANGELES – TikTok menyambung semula perkhidmatannya di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, beberapa jam selepas ia digantung, menyekat akses kepada berjuta-juta pengguna di seluruh negara.

“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump kerana memberikan kejelasan dan jaminan yang diperlukan kepada penyedia perkhidmatan kami bahawa mereka tidak akan menghadapi sebarang penalti memberikan TikTok kepada lebih 170 juta rakyat Amerika dan membenarkan lebih 7 juta perniagaan kecil berkembang maju,” kata TikTok dalam satu kenyataan.

“Ia adalah pendirian kukuh untuk Pindaan Pertama dan menentang penapisan sewenang-wenangnya,” kata syarikat itu.

TikTok berkata ia akan bekerjasama dengan Presiden terpilih AS Donald Trump, yang akan memegang jawatan presiden pada Isnin, untuk penyelesaian jangka panjang yang akan mengekalkan TikTok di Amerika Syarikat.

TikTok menjadi gelap lewat Sabtu di Amerika Syarikat, sehari selepas Mahkamah Agung AS mengumumkan keputusannya mengesahkan undang-undang yang memaksa pemilik TikTok China, ByteDance, untuk menjual aplikasi itu kepada syarikat Amerika, atau menghadapi larangan di seluruh negara mulai Ahad.

Trump berkata awal Ahad di Truth Social bahawa dia akan mengeluarkan perintah eksekutif pada Isnin yang akan membolehkan TikTok terus beroperasi.

Dia berkata pada Sabtu bahawa dia “kemungkinan besar” akan memberikan TikTok lanjutan 90 hari.

XINHUA