KUALA LUMPUR – Suami isteri dilapor maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki GTR1400 yang dinaiki terbabit kemalangan di Chumphon, Thailand, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi (waktu tempatan), Mohd Sofi Ismail dan isteri, Zaimima Ismail masing-masing berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi.
Menurut rakan mereka, Muhammad Arashid Ramli, 39, berkata dia menerima khabar duka itu daripada seorang rakan yang turut sama mengikuti konvoi ke Thailand, pada jam 10.30 pagi.
“Berdasarkan maklumat, pasangan itu bersama empat lagi rakan dalam perjalanan pulang dari Thailand ke Pulau Pinang. Mereka sudah hampir dua minggu berkonvoi di negara berkenaan.
“Semasa kejadian hujan dan keadaan jalan licin menyebabkan motosikal ditunggang arwah bersama isteri terbabas sendiri. Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dibawa ke Hospital Chumphon,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhammad Arashid berkata, dia masih terkejut dengan berita kematian rakan baiknya yang dikenali sejak lebih 10 tahun lalu ketika menyertai kumpulan motosikal berkuasa tinggi.
Dia yang menyifatkan suami isteri itu sebagai rakan yang baik berkata, pasangan terbabit tidak pernah berpisah dan sentiasa bersama kerana berkongsi minat terhadap motosikal berkuasa tinggi.
“Arwah mempunyai dua anak lelaki berusia 20-an yang baru saja melangsungkan perkahwinan dua bulan lalu dan seorang lagi berusia 12 tahun. Saya dimaklumkan kedua-dua anak arwah juga baru tahu mengenai kehilangan ibu bapa mereka.
“Kami sangat rapat kerana sentiasa berhubung dalam kumpulan sembang WhatsApp dan sudah tentu saya sangat sedih dengan kehilangan mereka. Saya akan bantu menguruskan dua van jenazah di Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Katanya, empat rakannya yang berada di Thailand ketika ini membantu menguruskan jenazah untuk dibawa pulang ke tanah air.
Menurut Arashid, proses tuntutan akan mengambil masa dan jenazah dijangka tiba di sempadan Malaysia-Thailand pagi esok.
Dia berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halaman keluarga Zaimima di Merbau Pulas, Kedah, untuk urusan pengebumian.
BH ONLINE