Suami dituduh bunuh budak 5 tahun, isteri didakwa aniaya

KUALA LUMPUR – Penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh budak lima tahun yang dijaga isterinya di sebuah hotel, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, penghantar barang itu didakwa membunuh budak lelaki, Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus yang berusia lima tahun lapan bulan di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh, di sini antara jam 1.15 pagi dan 7.15 pagi, 3 Mac lalu.

Oleh itu, bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh baharu untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei ini.

Pengasuh dituduh aniaya budak

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, isteri Muhammad Syafiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya Muhammad Shakir Firman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Nur Nilam Kamaruddin, 26, didakwa sebagai penjaga budak itu, telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan terdapat kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit projek perumahan rakyat di Jalan Silang di sini, jam 9 malam pada 25 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau pemenjaraan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan mangsa dalam kes ini sudah meninggal dunia selain kes amat serius.

“Namun terpulang kepada budi bicara mahkamah sekiranya membenarkan untuk tertuduh diikat jamin,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan ikat jamin dengan alasan mempunyai tiga anak dan mengandung anak keempat.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Siti Syakirah Mohtarudin kemudian membenarkan Nur Nilam diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan berusia 37 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat seorang budak lelaki yang dihantar pengasuhnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kanak-kanak itu dihantar oleh pengasuh ke wad kecemasan HKL jam 7.30 pagi dan hasil bedah siasat menemui 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan, dan kaki yang dipercayai akibat hentakan objek tumpul.

Susulan itu, polis menahan reman pengasuh dan suaminya, siasatan awal mendapati suspek lelaki bekerja sebagai penunggang p-hailing dan wanita terbabit bekerja sebagai pengasuh sepenuh masa serta mengasuh mangsa bersama tiga anak kandungnya yang masing-masing berumur tujuh, enam dan empat tahun.

Kanak-kanak lelaki itu dijaga oleh pengasuh dan tinggal bersama mereka sejak 21 Januari lalu dan hanya dilawati oleh ibunya berusia 27 tahun seminggu sekali.

Ibunya membayar RM800 sebulan kepada pengasuh terbabit dan terpaksa menghantar anaknya kerana bekerja syif serta sudah bercerai dengan suaminya.

BH ONLINE

ad