Rogol anak OKU, bapa kekal dipenjara 25 tahun, 10 sebatan

PUTRAJAYA — Seorang bapa kekal dipenjara 25 tahun dengan 10 sebatan kerana merogol anak kandung perempuannya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), tahun lalu.

Hal itu diputuskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak rayuan akhir perayu berusia 38 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada November 2023.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata kesalahan dilakukan perayu adalah serius kerana mangsa bukan sahaja anak kandung perayu malah seorang OKU.

“Ini bukan kali pertama perayu melakukan perbuatan ini kerana dia lakukan perkara sama kepada kakak mangsa. Sebagai bapa, kamu telah mengambil kesempatan terhadap anak sendiri yang sepatutnya kamu jaga dan lindungi.

“Kesalahan rogol terhadap ahli keluarga sendiri semakin berleluasa dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah sebelum ini adalah wajar. Kami tidak nampak apa-apa merit untuk mahkamah ini mengganggu hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.

“Oleh itu, rayuan perayu ditolak,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Lelaki itu diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 27 Oktober 2023.

Pada 1 November 2023, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan terhadap lelaki itu selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya berusia 14 tahun di rumah mereka di Sabak Bernam, Selangor antara jam 8.30 malam dan 9 malam, pada 11 Oktober 2023, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Dia turut diperintahkan menjalani kaunseling dalam tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara. Hukuman itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berhujah bahawa hukuman penjara 25 tahun yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan perayu.

“Walaupun perayu telah mengaku salah dan menjimatkan masa semua pihak, namun kesalahan dilakukannya serius dan berat. Tiada hukuman yang dapat mengembalikan maruah dan kesucian mangsa atas perbuatan keji perayu yang juga bapa kandung mangsa,” katanya.

Menurut Aznee, mangsa ialah seorang OKU yang mempunyai masalah pembelajaran dan kesalahan itu dilakukan semasa mangsa berada di rumah, yang sepatutnya menjadi tempat berlindung.

“Di manakah lagi tempat yang selamat jika di rumah sendiri pun jenayah seperti ini boleh berlaku. Perayu bukan sahaja mengkhianati amanah dan tanggungjawabnya sebagai bapa, malah gagal mengawal nafsu dan menyebabkan anaknya menderita dan trauma akibat perbuatan kejinya yang tidak berhati perut,” katanya.

Aznee berkata, perayu turut dikenakan hukuman penjara 25 tahun kerana merogol seorang lagi anaknya yang berusia 16 tahun yang juga kakak mangsa.

Peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Selangor, yang mewakili perayu berhujah tempoh pemenjaraan 25 tahun adalah terlalu tinggi dan memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara berkenaan.

“Perayu ada satu lagi kes iaitu dia dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan kerana merogol seorang lagi anaknya dan jika mahkamah ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun, perayu akan menjalani hukuman penjara berjumlah 50 tahun.

“Tempoh pemenjaraan yang terlalu lama akan menyukarkan perayu untuk kembali ke pangkuan keluarga dan mencari pekerjaan bagi menyara keluarganya termasuk ibu berusia 70 tahun dan empat anaknya,” katanya.

BH ONLINE-BERNAMA