RM3.1 bilion kerugian akibat jenayah komersil 2024

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, merekodkan kerugian lebih RM3.1 bilion sepanjang tahun lalu akibat kes jenayah komersial.

Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 41,701 kertas siasatan telah dibuka.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata jenayah komersial paling banyak direkodkan bermula awal Januari sehingga hujung Disember tahun lalu adalah jenayah penipuan dengan 37,240 kes membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM2.45 bilion.

Katanya, kes membabitkan jenayah pecah amanah mencatatkan sebanyak 1,448 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM546.39 juta.

“Kes membabitkan salah guna harta dengan curang pula adalah sebanyak 62 kes babitkan kerugian RM66.29 juta, jenayah siber 720 kes (RM32.7 juta), pemalsuan 128 kes (RM10.1 juta) dan wang palsu sebanyak 950 kes dengan kerugian RM1.16 juta.

“Turut direkodkan, jenayah berkaian Akta Pemberi Pinjaman Wang (Ahlong) sebanyak 1,060 kes membabitkan kerugian RM5.29 juta, kes VCD/DVD dua kes dan lain-lain kes sebanyak 91 dengan jumlah kerugian (RM1.6 juta),” katanya sidang media mingguan JSJK di sini, hari ini.

Ramli berkata, kira-kira 40 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka iaitu 16,813 kes berjaya dituduh di mahkamah.

“Sebanyak 35,368 kes penipuan dalam talian dengan kerugian mencecah RM1.57 bilion turut dicatatkan pada tahun lalu.

“JSJK turut memberikan fokus kepada aktiviti pencegahan dengan tujuan untuk memberikan informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial serta modus operandi terkini ‘scammer’.

“JSJK melaksanakan sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan yang merangkumi pelbagai aktiviti kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya.

BH ONLINE