KOTA BHARU — Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi di pintu air Pangkal Kalong, Kok Lanas di sini, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, mandi di tempat kejadian bersama tiga lagi rakan sebelum hilang dipercayai lemas.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pegawai Kanan Bomba II (PBK II) Hamdam Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.09 petang tadi.
Katanya, seramai sembilan anggota BBP Ketereh, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa dan dua anggota PPDA Machang bersama 14 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kok Lanas dan Ketereh menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Katanya, jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua pacuan empat roda digerakkan ke lokasi.
Sehingga jam 7.30 malam, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan meskipun dalam keadaan hujan dan cuaca gelap.
“Kita sudah melakukan pencarian di permukaan dan melakukan selaman dan akan teruskan lagi pencarian.
“Kedalaman sungai adalah dianggarkan enam meter,” katanya.
BH ONLINE