Polis tembak mati 3 suspek jenayah samun, curi kenderaan

RAWANG — Polis menembak mati tiga individu disyaki terbabit jenayah samun dan curi kenderaan, di Persiaran Kota Emerald, Kota Emerald di sini, hari ini.

Terdahulu kira-kira jam 12 tengah hari tadi, sepasukan polis mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dinaiki tiga suspek di lokasi dan cuba menahan mereka.

Bagaimanapun, suspek enggan memberi kerjasama dan melepaskan tembakan ke arah pihak polis sebagai usaha untuk meloloskan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis mengejar Toyota Vios berkenaan hingga sejauh kira-kira 750 meter (m) sebelum kesemua suspek berjaya ditembak mati.

Katanya, identiti dua suspek terbabit sudah dikenal pasti sebagai dua lelaki tempatan berusia 40 dan 43 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, identiti seorang lagi suspek belum dapat dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

“Modus operandi dikenal pasti ialah suspek menggunakan kenderaan yang disewa sebelum menukar nombor pendaftarannya dengan yang palsu.

“Hari ini, mereka didapati telah menyewa sebuah kenderaan dan menukar nombor pendaftarannya. Kita percaya mereka dalam usaha melakukan satu lagi jenayah, hari ini,” katanya pada sidang media di lokasi.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihak JSJ Bukit Aman menerusi Op Lejang sejak tahun lalu telah mengesan dan menjejaki kumpulan itu yang disyaki aktif dalam kegiatan curi kenderaan, terutama pacuan empat roda (4×4), serta samun.

Malah, beliau memaklumkan bahawa polis mengenal pasti pada tahun ini saja, mereka disyaki telah melakukan samun dan curi 17 kenderaan.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 24 rekod jenayah dengan lima rekod dikehendaki, manakala suspek berumur 43 tahun pula mempunyai 44 rekod dengan tujuh rekod dikehendaki untuk kes dadah dan enam rekod dikehendaki untuk kes jenayah,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut, beliau berkata, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver dan sepucuk pistol semi automatik di dalam kenderaan suspek.

“Kita turut menemui dua unit peralatan menyahaktifkan penggera kenderaan, satu wayar, dua topeng muka, satu pemotong wayar dan lima set nombor pendaftaran yang kita percaya palsu.

“Selain itu, dua bilah parang, tiga gulung pita pelekat, satu gulung ‘double tape’ dan satu peket kecil lutsinar yang kita percaya adalah syabu,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kumpulan itu dikesan aktif sejak 2018 dan disifatkan ‘sangat aktif’ melakukan jenayah curi kenderaan.

“Dalam tempoh 18 hari saja untuk tahun ini, sebanyak 17 kes curi kenderaan direkodkan di beberapa negeri membabitkan empat kes di Perak, Negeri Sembilan (empat), Selangor (tiga), Melaka (lima) dan Pulau Pinang (satu).

“Oleh itu, kita menyifatkan kumpulan ini sangat aktif. Semua yang dicuri adalah kenderaan 4×4,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan yang dicuri akan diseludup dan dijual ke negara jiran.

“Berdasarkan hasil siasatan dan melihat kepada peralatan yang kita rampas pada hari ini, kumpulan ini dipercayai dapat melarikan sesebuah kenderaan 4×4 dalam tempoh tidak sampai 10 minit.

“Buat masa ini, kita sedang menjalankan siasatan lanjut, selain mengesan rangkaian kumpulan ini. Kita percaya ada beberapa lagi suspek terbabit dan kita akan kesan,” katanya.

BH ONLINE