Pemandu lori balak maut akibat berlanggar lori pasir

TAMPIN — Seorang pemandu lori balak maut, manakala anaknya yang menjadi kelindan cedera apabila kenderaan berat kendalian mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori pasir di Kilometer 37 Jalan Tampin-Gemas awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, berkata dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun mati di lokasi.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika lori pasir dipandu seorang lelaki dari arah Jelai menuju ke Melaka.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori pasir memberhentikan kenderaannya di persimpangan dan mahu membelok ke kanan untuk masuk ke jalan utama.

“Bagaimanapun ketika sedang membelok, tiba-tiba datang sebuah lori muatan kayu balak dari sebelah kanan jalan utama melanggar bahagian kanan lori pasir berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemalangan yang berlaku juga menyebabkan bahagian kepada lori balak remuk teruk, manakala sebahagian muatan kayu balak yang dibawanya terjatuh ke atas jalan raya.

Amiruddien berkata, kelindan lori balak berusia 28 tahun mengalami kecederaan luka ringan di kaki sebelah kanan manakala pemandu lori pasir pula tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4412502 atau hubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Aqwa bagi membantu siasatan,” dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya.

BH ONLINE