SUNGAI PETANI — Seorang peniaga wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 146 alat seks pelbagai jenis tanpa kebenaran pihak berkuasa pada Jun lalu.
Ch’ng Ling Yeen, 40, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki pelbagai alat seks iaitu vibrator, dildo, ‘anal plug’ dan kondom yang disimpan di sebuah premis di Taman Petani Jaya di sini, pada 13 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Khairul Azhar Shuaib, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.
Norfarahazlinda dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya selain wanita itu masih menanggung dua anak berusia sembilan dan 10 tahun.
Mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM4,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan ke atasnya.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Sungai Petani.
Sebelum ini, media melaporkan Bahagian Penguatkuasaan KDN Putrajaya menahan seorang peniaga yang dikesan menjual dan mempromosi alat seks secara dalam talian kepada orang ramai.
Dalam pemeriksaan ke atas premis rumah kedai dua tingkat di Taman Petani Jaya itu, anggota penguatkuasaan menemui pelbagai stok alat seks yang disimpan wanita itu di dalam stor.
BH ONLINE