Mekanik maut dihimpit kenderaan sedang dibaiki

IPOH — Seorang mekanik maut tersepit antara dua kenderaan ketika sedang membaiki sebuah treler rosak di Kilometer (KM) 286.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah utara, dekat Simpang Pulai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 1.35 pagi itu, Mohammad Marinoor Chik, 60, tersepit antara bahagian hadapan treler dengan bahagian belakang van miliknya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata siasatan awal mendapati, mangsa menghentikan van dinaikinya di kiri bahu jalan untuk membaiki treler

Katanya, tidak lama kemudian, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga rakan setugas mangsa hadir ke lokasi kejadian dengan memandu van berlainan dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

“Ketika mangsa sedang membaiki treler yang rosak itu, secara tiba-tiba rakan setugas mangsa mengundurkan kenderaannya ke belakang dengan laju lalu melanggar van mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, van mangsa menggelongsor ke belakang dan menghimpit mangsa yang berada di tengah-tengah antara treler dan vannya itu.

“Rakan setugas mangsa kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

“Pemandu treler dan rakan setugas mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau membahayakan,” katanya.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

BH ONLINE

Just Pic