ALOR GAJAH — Perjalanan pulang seorang pekerja kilang berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangi dipercayai dihempap pokok tumbang di Jalan Industri Kelemak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan,18, yang menunggang motosikal Benelli maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata polis menerima laporan kemalangan itu pada jam 6.50 pagi.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Alor Gajah menghala ke rumah di Taman Lendu Bakti, Masjid Tanah, di sini.
“Ketika tiba di lokasi dipercayai sebatang pokok tumbang menghempap tangki motosikal sehingga menyebabkan penunggang jatuh di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
“Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kenderaan terbabit ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pihaknya sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BH ONLINE