KUALA PILAH – Seorang pegawai bank maut dirempuh lori ketika berjalan untuk menunaikan solat Subuh di masjid di Kampung Bemban, Senaling di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan dirempuh lori dari arah sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Nahas membabitkan lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 31 tahun dan pejalan kaki di Kilometer (KM) 19 Jalan Senaling-Kampung Kepis, di sini.
“Lori berkenaan dari arah Kuala Pilah menuju Bukit Rokan dan melanggar pejalan kaki dari arah sama di bahu jalan,” katanya, hari ini.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala pejalan kaki cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kuala Pilah.
“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
BH ONLINE