Lelaki rentung kereta dipandu terbabas sebelum terbakar

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 11.5 Lebuhraya Senai Desaru menghala ke Senai di sini, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pagi, mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaannya dan gagal menyelamatkan diri.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa lelaki berumur 44 tahun dalam perjalanan dari Ulu Tiram menghala ke Senai hilang kawalan ketika sampai di lokasi kejadian.

“Kereta dipercayai terbabas ke kiri jalan dan terlanggar longkang kecil. Akibat kemalangan itu, kereta dipandu mangsa terbakar dan mangsa terperangkap didalamnya.

“Pihak Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan Senai yang tiba di tempat kejadian, berjaya memadam kebakaran dan membawa keluar mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE

ad