BATU PAHAT – Seorang pelajar Tingkatan Tiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua sepupu lelaki ketika sambutan hari lahirnya, pada bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 15 tahun itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam bilik air sebuah rumah dalam daerah ini antara jam 8.30 hingga jam 10.20 malam.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia mengulangi perbuatan sama ke atas individu lain berusia tujuh tahun di ruang tamu dan bilik tidur dengan semua kejadian, lokasi serta masa berlaku di tempat sama.
Untuk semua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara 20 tahun dan juga sebatan.
Bagi pesalah kanak-kanak, hukuman bakal dikenakan ialah bon berkelakuan baik, diletakkan bawah jagaan saudara atau orang lain yang sesuai dan layak serta dihantar ke Sekolah Henry Gurney.
Berdasarkan laporan dibuat, majlis sambutan hari lahirnya diadakan pada hari kejadian di rumah tertuduh dengan dihadiri beberapa orang termasuk dua mangsa terbabit.
Namun, sebaliknya berlaku apabila tertuduh mengajak seorang mangsa masuk ke bilik air lalu melakukan amang seksual terhadap mangsa.
Selepas itu, tertuduh mengajak mangsa kedua dengan kejadian berlaku masing-masing dalam bilik tidur dan ruang tamu.
Kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada ibunya sebelum membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan kes disebut semula pada 30 April ini untuk serahan dokumen.
BH ONLINE