Kemunculan paus ‘humpback’ di Pulau Redang istimewa, pertama direkodkan

Kemunculan paus ‘humpback’ di Pulau Redang istimewa, pertama direkodkan
Tangkap layar video tular mengenai kehadiran paus dipercayai spesies ‘humpback’ atau paus bongkok di Pulau Redang.

KUALA TERENGGANU — Kemunculan seekor paus dipercayai spesies ‘humpback’ atau ‘megaptera novaeangliae’ yang dikesan di Pulau Redang dianggap istimewa kerana tidak pernah direkodkan berlaku sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Pensyarah Program Biologi Marin dan Penyelidik Bersekutu Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Maizah Mohd Abdullah mengulas video tular mengenai kemunculan pasu itu di pulau berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya meskipun agak sukar mengecam spesies paus itu berikutan rakaman video pendek dan kurang jelas iaitu hanya menunjukkan bahagian kepala atau ekor mamalia berkenaan, namun pengecaman pada bentuk sirip dorsal menunjukkan ia spesies ‘humpback’ atau juga dipanggil paus bongkok.

Beliau berkata, paus melakukan penghijrahan atau migrasi paling jauh berbanding mana-mana haiwan mamalia lain.

“Untuk rekod, spesies ini boleh dijumpai di perairan dalam di seluruh dunia, namun populasi paling hampir dengan perairan Malaysia adalah dari kawasan barat laut Pasifik.

“Populasi paus bongkok ini dilaporkan menggunakan perairan Okinawa di Jepun dan Filipina untuk membiak dan di Malaysia ia pernah dilaporkan ditemui di perairan Pangkor di Perak dan Miri di Sarawak,” katanya ketika dihubungi.

Maizah berkata, tiada bukti cukup untuk menyatakan perairan di negeri ini menjadi laluan mamalia marin itu memandangkan ia kemunculan pertama spesies itu di Pulau Redang.

Katanya, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat saintifik berkenaan lokasi laluan spesies ‘humpback’ di perairan Pulau Redang.

“Bagaimanapun, ia bukan mustahil untuk berlaku kerana lokasi Pulau Redang tidak begitu jauh dengan kawasan perairan barat laut Pasifik yang menjadi salah satu habitat populasi mamalia itu.

“Jadi penting sebarang kemunculan pasu ‘humpback’ atau mana-mana spesies mamalia marin dilaporkan kepada pihak berkaitan supaya data itu dapat dikumpulkan untuk memerhati jika terdapat perubahan pada pola migrasi spesies marin terancam ini.

“Kemunculan haiwan mamalia marin yang berkarisma seperti pasu ‘humpback’ ini memberi mesej bahawa tidak kira di mana kita berada, setiap ahli masyarakat perlu bersama-sama menjaga kelestarian lautan.

“Nasihat saya kepada warga tempatan berhati-hati ketika mengadakan aktiviti di perairan berhampiran dan jika terserempak mana-mana spesies haiwan marin terancam seperti ini, perlulah memperlahankan bot dan tidak cuba untuk menghampiri terlalu rapat,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi 44 saat memaparkan penemuan mamalia laut itu di muat naik pengguna TikTok menggunakan akaun @akihiro_san28 di Pulau Redang.

BH ONLINE

Just Pic